Wednesday, July 16, 2008

33 atlit bawa cabaran Olimpik

Memanah dan lumba basikal turut disandar pingat bukan sekadar badminton

ANGKANYA sudah hampir muktamad iaitu 33 atlit daripada sembilan disiplin akan membawa cabaran negara pada Sukan Olimpik XXIX Beijing, bulan depan, dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengharapkan kali ini kontinjen negara tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Selain daripada jumlah terbesar atlit individu dalam sejarah temasya itu, persembahan cemerlang beberapa sukan seperti memanah dan lumba basikal, meyakinkan MOM kali ini harapan untuk pingat bukan hanya tersandar pada bahu badminton, seperti selalunya.

"Dengan 33 atlit, sudah tentu kita mengharapkan sesuatu daripada mereka," kata Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif badan induk itu, semalam.


"Semua kontinjen bertanding mahu memenangi pingat tetapi kita perlu realistik dengan peluang kontinjen negara di Beijing.

"Kita masih lagi mengharapkan badminton untuk menamatkan kemarau pingat tetapi pada masa sama, pencapaian cemerlang beberapa sukan seperti memanah dan lumba basikal, menyuntik semangat dalam pasukan kita kali ini.

"Tetapi saya harap kita tidak meletakkan tekanan kepada atlit kerana beraksi dalam Sukan Olimpik adalah sesuatu yang menuntut aksi terbaik daripada mereka," kata Tunku Imran.

Kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam disiplin akuatik, angkat berat, badminton, lumba basikal, memanah, menembak, olahraga, pelayaran dan taekwondo.

Di Athens, empat tahun lalu, Malaysia hadir dengan 26 atlit - jumlah terbesar ketika itu, melayakkan diri ke Sukan Olimpik tetapi pulang hampa apabila gagal memenangi sebarang pingat.

Berita Harian

No comments: