Wednesday, July 16, 2008

Harapan Chong Wei, Mew Choo


INTIM: Chong Wei (kanan) dan Mew Choo ketawa membaca nota yang diberikan oleh rakan sepalatih, semalam.

Galas impian besar raih pingat di Beijing

LALUAN menanti mereka memang penuh berliku. Di bahu Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo, negara mengharapkan ada kilauan pingat mampu dirangkul pada temasya Sukan Olimpik di Beijing, bulan depan.

Malah ada yang menyamakan mereka, biarpun hubungan intim tidak pernah diakui kedua-duanya secara terbuka, mampu jadi versi Malaysia kepada apa yang pernah dimiliki Indonesia - pasangan emas Alan Budi Kusuma dan Susi Susanti.

Alan dan Susi diangkat selaku pasangan emas hasil kejayaan mereka memenangi acara perseorangan lelaki dan wanita ketika badminton kali pertama dipertandingkan dalam Sukan Olimpik di Barcelona pada 1992.

"Saya percaya dengan Chong Wei. Saya yakin dia mampu memenangi pingat pada Sukan Olimpik kali ini. Cuma bezanya, susah untuk ramal pingat apa. Dengan prestasinya ketika ini, ia bukan mustahil," akui Mew Choo.

Chong Wei juga punya keyakinan terhadap temannya itu, tetapi mengakui betapa berbanding dengan dirinya, Mew Choo punya laluan yang jauh lebih sukar.

"Untuk Mew Choo, nampaknya agak sukar. Tetapi dia gigih berlatih dan sentiasa mahu meningkatkan persembahannya. Saya percaya jika dia berusaha keras, dia juga mampu memenangi pingat," balas Chong Wei.

Chong Wei akan berstatus selaku pilihan kedua untuk saingan di Beijing nanti dan memang dilihat sebagai antara pencabar utama untuk mengungguli emas berdasarkan prestasi baik ketika Piala Thomas dan Terbuka Singapura lalu.

Mew Choo pula melakar pencapaian terbaik peribadi di Beijing apabila melepasi segala ranjau untuk merangkul gelaran Siri Super Dunia sulungnya, Terbuka China, tahun lalu.

Ketika ini, kedua-duanya jadi tumpuan utama sesi latihan di bawah kendalian jurulatih, Misbun Sidek, dengan rakan sepelatih menggenapkan segala usaha buat membantu persiapan mereka.

"Apa yang penting ketika ini ialah membuatkan Chong Wei dan Mew Choo rasa bahawa mereka tidak berseorangan," kata Misbun.

Ia termasuk langkah memastikan setiap rakan pelatih, setiap hari, berkongsi pendapat dan meluahkan kata-kata perangsang kepada kedua-duanya setiap kali tamat sesi latihan.

Berita Harian

No comments: