SANDARAN: Hup Wei mampu lakukan kejutan di Sukan Olimpik di Beijing |
Atlit negara itu mampu lepasi tiga sentimeter lagi ke final
ANTARA tiga atlit olahraga negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik Beijing, Lee Hup Wei tampak berpeluang cerah mencatat sesuatu di luar dugaan andai dia mampu melepasi ketinggian 2.30 meter.
Anak muda berusia 21 tahun itu kini sedang dalam fasa latihan di Finland menunjukkan peningkatan dalam lompatan sejak kebelakangan ini apatah lagi memperbaharui rekod kebangsaan, 2.27m untuk layak ke Olimpik.
Dan menjelang latihan terakhir sebelum ke Beijing, Hup Wei diharap sekali lagi mempamer peningkatan untuk sekurang-kurangnya melepasi tiga sentimeter lagi bagi membolehkannya bersaing di final Olimpik.
"Peluang dilihat ada pada Hup Wei, saya harap dengan latihan di luar negara dia mampu meningkatkan lagi daya lompatannya melepasi ketinggian 2.30m," kata Pengurus Besar Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, Aminuddin Mohd Nasir.
Katanya, mengikut perkembangan semasa, jika Hup Wei boleh melepasi ketinggian berkenaan dia berkemungkinan besar mampu bersaing dengan jaguh handalan yang lain pada Sukan Olimpik nanti kerana catatan berkenaan sudah dikira bertaraf dunia.
Atlit tinggi lampai itu mencipta rekod baru kebangsaan apabila melepasi ketinggian 2.27m dalam acara final Kejohanan Olahraga Terbuka China di Stadium Olimpik Beijing, Mei lalu.
Aminuddin menjelaskan ketika ini pihaknya masih belum mengetahui perkembangan semasa Hup Wei kerana pemergiannya ke Finland lebih kepada sesi latihan dengan hanya beberapa kejohanan pemanas badan sebagai persiapan ke Beijing.
"Kita memang berharap dia mampu melakukan sesuatu di Olimpik nanti, dua lagi atlit negara (Yuan Yufang dan Roslinda Samsu) menghadapi laluan agak sukar walaupun Yufang sudah tentu akan beraksi di final," katanya.
Bagi Hup Wei, Aminuddin menjelaskan atlit berkenaan yang mendapat jurulatih baru Jorge Luis Alfaro menggantikan Antonio Yzanaga Ibar, menampakkan peningkatan sejak setahun lalu dan sentiasa konsisten dalam lompatannya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment