Wednesday, April 2, 2008

Amaran terakhir buat Kien Keat-Boon Heong

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong tidak akan lagi 'memberi muka' kepada pasangan emas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong jika beregu itu berterusan membuat perangai yang menjejaskan prestasi mereka.

Peringatan itu dikeluarkan selepas Zolkples untuk kesekian kalinya terpaksa mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan pasangan itu serta jurulatihnya Rexy Mainaky, berikutan persembahan hambar di beberapa kejohanan antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Bagi Zolkples, jika Kien Keat-Boon Heong sekali lagi membangkitkan masalah, beliau tidak akan teragak-agak untuk memberi restu kepada Rexy jika jurulatih berasal dari Indonesia itu bertindak menggugurkan pasangan itu daripada skuad Sukan Olimpik Beijing 2008.


“Saya tidak mahu lagi dengar dan lihat timbul masalah dengan pasangan ini,” kata Zolkples semalam. “Jika wujud juga, saya tidak akan lagi menyelesaikan sebaliknya saya akan memberi sokongan penuh kepada Rexy untuk mengambil apa saja tindakan.

“Malah saya akan memberi restu kepada Rexy jika dia mahu menggugurkan pasangan ini daripada Sukan Olimpik Beijing, jika mereka berterusan menyajikan persembahan tidak konsisten dan menimbulkan masalah.

“Pada masa sama, saya juga akan terus memantau mereka ketika latihan sekarang ini dan daripada maklum balas yang saya terima, setakat ini kedua-duanya kembali menunjukkan komitmen positif berbanding sebelumnya,” kata Zolkples.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah MSN itu mengadakan pertemuan dengan Kien Keat-Boon Heong dalam usaha menyelongkar misteri prestasi merudum pasangan itu yang menimbulkan kebimbangan memandangkan mereka adalah sandaran utama pingat di Beijing.

Ini kali kedua Zolkples mengadakan pertemuan dengan pasangan itu dengan kali pertama ialah selepas kehambaran yang ditunjukkan mereka di Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur, tahun lalu.

“Saya harap pertemuan terbaru saya ini adalah yang terakhir dan saya berharap tidak akan mendengar lagi masalah sama ada disiplin atau sebagainya membelenggu pasangan ini,” kata Zolkples. “Saya juga berharap mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada badminton.

“Apapun kita lihat bagaimana prestasi mereka dalam aksi akan datang iaitu Kejohanan Asia dan saya akan memantau prestasi mereka dengan teliti.”

BH

No comments:

Post a Comment