Wednesday, April 2, 2008

'Tiada pingat bermakna gagal'


Oleh Lukman Salleh

BERKENALAN: Ismail Sabri yang diiringi Zolkples (kanan) bertanya khabar kepada atlit bowling, Shalin Zulkifli ketika mengadakan lawatan ke Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, semalam.

Semua pihak harus menerima hakikat tanpa perlu memberi pelbagai alasan: Ismail

PINGAT, tidak kira apa warnanya sudah cukup di Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini dan tanpanya kontinjen negara dianggap gagal sekalipun hadir dengan kemungkinan jumlah terbanyak atlit yang berjaya melayakkan ke temasya berprestij itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, berkata hakikat itu harus diterima kerana Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sukan negara bagi Sukan Olimpik ialah memenangi apa juga pingat di temasya itu.


“Jika atlit tidak membawa pulang sebarang pingat maka kontinjen negara dianggap gagal dan semua pihak harus menerima hakikat tanpa perlu memberi pelbagai alasan.

“Sebaliknya kita perlu membetulkan semua kelemahan untuk memastikan kita akan berjaya pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan ke Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), di Bukit, Jalil semalam.

Turut hadir Timbalannya, Wee Jeck Seng, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Aziz.

Ismail Sabri dilantik Menteri Belia dan Sukan yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman, yang berpindah ke Kementerian Pelancongan.

Serentak dengan itu juga, Ismail Sabri akan memikul tugas selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Sukan Olimpik Beijing, bagi memantau persiapan kontinjen negara menghadapi temasya itu.

“Hari ini saya hanya diberi taklimat ringkas mengenai persediaan atlit menghadapi Sukan Olimpik dan saya juga akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Khas ini untuk mengetahui tahap persediaan kita,” katanya.

Sehingga kini, 16 atlit sudah mengesahkan tempat ke Beijing dan kemungkinan jumlah itu akan meningkat kepada 30 dengan MSN menjangkakan badminton (10 atlit) dan lumba basikal (empat atlit) akan turut layak.

Kali terakhir kontingen negara membawa pingat dari Sukan Olimpik Atlanta 1996 ialah satu perak dan satu gangsa, masing-masing dalam acara badminton menerusi pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan Rashid Sidek.

Ditanya sama ada beliau berdepan cabaran sukar selaku Menteri Belia dan Sukan memandangkan menjawat jawatan itu ketika Sukan Olimpik hanya kira-kira empat bulan bulan saja lagi, Ismail Sabri menganggap ia bukan rintangan besar.

“Bagi saya Sukan Olimpik bukan cabaran besar buat saya kerana KPI adalah mudah iaitu perlu menang pingat di Beijing, jika tidak bererti gagal. Sebaliknya cabaran utama saya adalah menangani masalah belia.”

No comments:

Post a Comment