Wednesday, April 2, 2008

PHM tak buat kejutan besar

Oleh Hasnira Hassan

18 pemain dinilai terbaik menyahut cabaran kelayakan Olimpik bulan depan

SEPERTI diramalkan, pengurusan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) tidak banyak membuat kejutan besar apabila mengumumkan senarai 18 pemain skuad negara yang bakal menyahut cabaran di kejohanan kelayakan Olimpik di Jepun, bulan depan.

Namun tamparan hebat adalah pemain tonggak pertahanan, Megat Azrafiq Megat Termizi digugurkan gara-gara kecederaan tulang kering kaki kiri yang belum pulih begitu juga penjaga gol, Khairulnizam Ibrahim yang turut berada dalam senarai pemain tercedera.


Kini, tanggungjawab besar mengemudi benteng pertahanan di Kakamigahara nanti akan digalas oleh tiga pemain yang digugurkan selepas Sukan Asia Doha iaitu S Kuhan, Madzli Ikmar Mohd Nor dan Mohd Amin Rahim.

“Kami sudah memilih barisan terbaik dan saya berharap mereka akan turun berjuang di bumi ‘samurai’ seperti pahlawan sehingga ke titisan keringat terakhir.

“Pihak pengurusan tidak meletakkan harapan tinggi dan cukup andai pasukan ini dapat layak ke perlawanan akhir,” kata Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tan Sri Laksamana Mohd Anwar Mohd Nor selepas mengumumkan senarai nama, semalam.

Pada kejohanan yang bermula 5 sehingga 13 April itu, Malaysia diundi bersama tuan rumah, Jepun selain Itali, Poland, Switzerland dan juara Piala Dunia 2006, Jerman.

Sementara itu, jurulatih negara, Sarjit Singh berkata dia hanya mensasarkan layak ke final berikutan hanya satu tiket diberi untuk layak ke Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini.

Pada kejohanan kelayakan sebelum ini, New Zealand menewaskan Argentina ketika Britain menundukkan India bagi memenangi tiket yang sama.

“Pada pemerhatian saya, ini adalah kumpulan kelayakan paling hebat dan sengit kerana kami bukan saja berdepan pasukan tuan rumah (Jepun) tetapi juga Jerman. Ketika sama kita tidak boleh memandang memandang remeh kekuatan skuad Eropah lain,” kata Sarjit.

“Saya masih belum dapat menyaksikan corak permainan Poland, Itali dan Switzerland. Malah, tiada rakaman video permainan mereka.”

Mengulas mengenai skuad yang disediakan, Sarjit mengakui berpuas hati dengan tahap kecergasan setiap pemain yang disifatkan terbaik dan bersedia menghadapi lawan masing-masing.

“Setiap pemain yang terpilih sudah menunjukkan keupayaan dan komitmen masing-masing sepanjang latihan dan perlawanan,” katanya yang dijadual berlepas ke Jepun bersama skuadnya pada 30 Mac ini.

"Tiada perlawanan persahabatan diatur dan kami percaya skuad ini benar-benar sudah bersedia,” tambahnya.

Meskipun syarat kejohanan hanya membenarkan hanya 18 pemain dipilih, tetapi PHM menambah dua pemain lagi sebagai ganti sekiranya berlaku kecederaan sebaik tiba di Jepun.

SKUAD NEGARA

PENJAGA GOL: S Kumar, Mohamed Hanafi

PERTAHANAN: Madzli Ikmar, Jiwa Mohan, S Kuhan, Amin Rahim, Baljit Singh Charun Singh

TENGAH: Mohamed Shukri Mutalib, Azlan Misron, Sharun Nabil, Kelvinder Singh, Ahmad Anuar

PENYERANG: Chua Boon Huat, Jivan Mohan, Ismail Abu, Razie Rahim, S Selvaraju, Tengku Ahmad Tajuddin

Simpanan: Engku Malek dan Baljit Singh Sarjab Singh

No comments:

Post a Comment