Wednesday, December 21, 2011

Layak ke kejohanan Dunia



AKSI Leong Mun Yee Leong (bawah) dan Pandelela Rinong pada Kejohanan Dunia di Shanghai Julai lalu. - AFP



KUALA LUMPUR -Berkedudukan ranking ketiga dunia, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee akan sekali lagi meraih hak untuk beraksi pada pertandingan berprestij Siri Terjun Dunia Persekutuan Akuatik Antarabangsa (FINA) tahun depan.

Siri Terjun Dunia yang mula dianjurkan FINA sejak 2007 merupakan pertandingan jemputan yang dikhaskan hanya untuk 10 penerjun terbaik dunia dalam setiap disiplin.

Ini sekali gus melayakkan Pandelela dan Mun Yee yang menghuni ranking ketiga acara 10m platform seirama, untuk berentap dengan sekumpulan penerjun elit dunia. Ia baik untuk mengukur sejauh mana peluang mereka meraih pingat pada Olimpik nanti.

Pandelela juga dijangka menerima jemputan untuk beraksi dalam acara 10m platform individu kerana pemenang pingat emas Sukan Komanwel berada pada ranking ketiga dunia, di belakang dua jaguh sensasi China, Hu Yadan dan Chen Ruolin.

Sema seperti tahun ini, Siri Terjun Dunia 2012 turut menampilkan empat pusingan bermula di Dubai pada 16-17 Mac, diikuti Beijing (Mac 23-24), Moscow (13-14 April) dan Tijuana, Mexico (20-21 April).
Gandingan Pandelela-Mun Yee sememangnya kian menjadi sejak mereka berdua melakar kejutan memungut gangsa di Kejohanan Dunia Rome pada 2009.

Kejayaan Pandelela-Mun Yee meraih naib juara pada pusingan pertama Siri Terjun Dunia di Beijing, Februari lalu adalah bukti terbaik mereka sebenarnya setanding dengan lain-lain pencabar kecuali China yang jelas berada di kelas tersendiri.

Kejayaan paling manis adalah apabila mereka mencipta sejarah menjuarai Grand Prix Terbuka Jerman di Rostock pada Mei.

Biarpun masih belum lagi mengesahkan tiket Olimpik selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kelima (tiga pasangan terbaik layak) pada Kejohanan Dunia Shanghai pada Julai, pasangan harapan negara diramal tidak menghadapi masalah untuk layak menerusi Piala Dunia di London Februari depan.


UTUSAN MALAYSIA

No comments: