
Prestasi Koo Kien Keat (kiri)-Tan Boon Heong semakin membimbangkan ekoran tewas dalam semua tiga perlawanan kumpulan Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir di Liuzhou, China minggu lalu.
KUALA LUMPUR - Kegagalan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menamatkan perlawanan dengan kemenangan walaupun sudah mendahului lawan, dikenalpasti sebagai masalah membelenggu beregu utama negara itu.
Demikian penjelasan ketua jurulatih beregu lelaki negara berhubung persembahan hambar pasangan itu yang tewas dalam kesemua tiga perlawanan kumpulan Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir di Liuzhou, China minggu lalu.
“Mereka mampu bermain dengan baik dan memimpin perlawanan namun kemaraan tersekat pada situasi getir dan tidak cukup tajam untuk melengkapkan kemenangan,” katanya, merujuk kepada aksi pembukaan Kien Keat-Boon Heong menentang beregu handalan Korea Selatan, Jung Jae-Sung-Lee Young-Dae.
Pada set penentuan, Kien Keat-Boon Heong mendahului perlawanan sehinggalah kedudukan terikat 15-15 sebelum membiarkan lawan mengutip tiga mata berturut-turut dan seterusnya memenanginya.
Begitu juga sewaktu pertemuan dengan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano, yang mana mereka yang menang set pertama dan berada di ambang kemenangan set berikutnya pada kedudukan 19-16, namun akhirnya tewas 19-21.
Berikutan itu, Kim Her memberitahu, Pang Cheh Chang yang bertanggungjawab melatih Kien Keat-Boon Heong akan merangka pelan baru untuk mengatasi masalah tersebut.
“Pang (Cheh Chang), dibantu Yoo (Yong-Sung) akan duduk berbincang dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mencari punca serta penyelesaiannya.
“Mungkin kerana Koo-Tan terlalu letih pada penghujung permainan atau pun silap strategi? Kita akan cuba mencari jalan membantu dua pemain ini,” tambahnya.
Kim Her bagaimanapun sedar masa kurang mengizinkan kerana tugasan Kien Keat-Boon Heong seterusnya adalah Terbuka Korea pada 3-8 Januari depan, justeru Cheh Chang tidak harus mengambil masa terlalu lama.
Walaupun berasa teragak-agak apabila diajukan soalan sama ada Kien Keat-Boon Heong masih boleh dianggap prospek emas, Kim Her berkata: “Saya tetap percayakan Pang, saya yakin dia mampu membimbing Koo-Tan untuk bangkit selepas ini.”
UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment