Tuesday, December 20, 2011

Faizal optimis hoki ke Olimpik

KUALA LUMPUR - Penyerang utama skuad hoki negara, Faizal Shaari optimis dengan peluang Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik London tahun depan menerusi saingan kelayakkan di Dublin, Ireland, 10-18 Mac depan.

Malaysia diundi sekumpulan dengan tuan rumah, Korea Selatan, Rusia, Chile dan Ukraine.
Status gergasi Asia yang dimiliki Korea Selatan serta kelebihan Ireland selaku tuan rumah tidak menggusarkan Faizal.

"Rekod pertemuan terbaru dengan Korea Selatan membuktikan kami mampu menyaingi mereka. Kami mengikat mereka seri pada Sukan Asia dan menang dengan mereka 3-1 pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah.

"Ireland pula, sebelum ini kami berentap dengan mereka dalam lima perlawanan ujian yang mana kami menang dua kali dan seri sekali.

"Korea Selatan dan Ireland adalah pencabar utama kami di Dublin nanti, namun saya tetap yakin kerana sudah masak corak permainan mereka, jadi kita ada ramuan untuk menang," katanya.

Menurut Faizal, apa yang lebih penting adalah dia dan rakan sepasukan mengelak dari lalai pada penghujung perlawanan, seperti mana yang berlaku ketika perlawanan dengan India pada suku akhir Cabaran Juara baru-baru ini.

Biar pun selesa mendahului 4-2 pada satu ketika, India berjaya menyamakan kedudukan pada lima minit terakhir sebelum melengkapkan kemenangan 5-4 pada masa tambahan.



UTUSAN MALAYSIA

No comments: