Wednesday, April 9, 2008

Menteri sukan jumpa Kien Keat, Boon Heong

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan empat mata dengan pemain beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bagi mendengar segala permasalahan dihadapi beregu ranking ketiga dunia itu.

Sambil menegaskan, betapa kudrat mereka begitu ditagih kerana berada pada kedudukan mampu membawa pulang pingat untuk negara di Sukan Olimpik Beijing kelak, Ismail berkata, mereka perlu diberikan bantuan sewajarnya.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan mereka dalam masa terdekat bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi. Ini kerana harapan terhadap sukan badminton bagi meraih pingat terlalu tinggi dan kami menyedari ia mencetuskan bebanan kepada pemain," katanya selepas mengetuai mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Sukan Olimpik di Putrajaya, semalam.


Ismail berkata, beliau amat menyedari prestasi turun naik beregu emas itu dalam beberapa kejohanan sebelum ini, mencetuskan persoalan terhadap kemampuan mereka membawa pulang pingat.

"Kita sebenarnya amat serius dalam usaha membawa pulang pingat. Jadi kami perlu mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi dan akan cuba mengatasi segala kemelut yang melanda.

"Selain itu, kita juga menaruh harapan kepada pemain perseorangan negara, Lee Chong Wei yang kini di ranking kedua dunia. Andai berdasarkan ranking, kita mampu meraih perak dari acara perseorangan dan gangsa daripada acara beregu.

"Saya juga akan berjumpa dengan atlit lain untuk mendengar masalah yang mereka hadapi kerana sukan lain turut mencatatkan peningkatan ketara dan mampu membawa kejutan kepada kontinjen Malaysia, lebih-lebih lagi menerusi program dan persediaan rapi yang sudah kita aturkan," katanya.

BH

No comments: