Wednesday, April 9, 2008

Peluang kita makin tipis

Oleh Hasnira Hassan

Kini anak buah Sarjit harapkan ihsan Jerman pukul Jepun esok

SKUAD hoki negara akhirnya dapat menjelmakan aksi terbaik di kejohanan kelayakan Olimpik. Namun, keringat anak didik Sarjit Singh itu belum cukup untuk menyekat keperkasaan Jerman apabila kecundang 3-0 kepada pasukan nombor satu dunia itu di Stadium Green, semalam.

Kekalahan itu - yang pertama di kejohanan enam negara itu - secara lojik menceritakan peluang untuk layak ke final dan mengintai tiket terakhir ke Sukan Olimpik di Beijing semakin tipis kecuali dapat mengutip mata kemenangan daripada dua perlawanan berikut menentang Switzerland, esok dan Jepun, Sabtu ini.


Rata-rata boleh dikatakan ketiga-tiga gol Jerman bukan kerana kesilapan pertahanan negara, sebaliknya lebih menjurus kepada sifat pintar pihak lawan meledakkan jaringan.

Ketika Malaysia dijangka akan menjadi mangsa berikut Jerman selepas juara Piala Dunia itu membelasah Switzerland (10-0) dan Itali (8-0), Azlan Misron dan rakan-rakan membuat kejutan dengan persembahan terpuji untuk menyaingi lawan pada setiap bahagian.

"Bagi saya, walaupun kita tewas dengan Jerman, namun pemain mempamerkan aksi paling hebat yang pernah ditampilkan dan andainya mereka terus mengekalkan prestasi seperti ini, saya yakin kami mampu menguasai dua saingan yang masih berbaki.

"Hari ini (semalam) pemain bersemangat untuk menang dan kemenangan boleh menjadi milik kita," kata Sarjit ketika dihubungi di Kakamigahara, semalam.

Pada firasatnya, Jerman bernasib baik memperoleh gol awal ketika dua peluang sebelum itu - pukulan sudut penalti minit kelapan oleh Mohd Amin dan pukulan Kelvinder Singh tersasar.

"Andai gol awal milik kita, saya yakin perlawanan akan berubah wajah," kata Sarjit yang menegaskan semangat pemainnya masih tidak luntur untuk merealisasi sasaran layak ke final.

Jerman hanya memerlukan 23 minit untuk merobohkan benteng Malaysia yang beraksi tanpa pemain berpengalaman, S Kuhan yang cedera pangkal paha dan juga penyerang berbisa, S Selvaraju yang demam sejak kelmarin.

Selepas gagal meraih gol menerusi tiga peluang pukulan sudut penalti yang diperoleh seawal minit pertama perlawanan, penyerang terbaik Jerman, Christopher Zeller, 23, menamatkan 'dahaga' gol skuadnya apabila menyudahkan cantik lantunan bola ditampan penjaga gol Malaysia, S Kumar minit ke-23.

BH

No comments: