GANJARAN melimpah ruah sehingga akhir hayat dan dijanjikan masa lebih terjamin. Ini adalah ikrar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika mengumumkan ia bercadang meningkatkan skim insentif kemenangan Olimpik selain memberi gaji bulanan serta pencen kepada pemenang pingat di temasya sukan terbesar dunia itu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, sejurus mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu Sukan Olimpik menegaskan, cadangan berkenaan akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan.
"Kita tidak boleh umum lagi jumlah kenaikan atau mengenai kadar gaji bulanan itu, tetapi yakin ia akan membakar semangat atlit untuk mencapai kejayaan membawa pulang pingat dari Beijing pada Ogos depan selepas kecewa tanpa pingat di Athens," katanya.
Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Setiausaha KBS, Datuk Yasin Salleh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Aziz serta Chef de Mission Olimpik 2008, Datuk Ho Koh Chye.
Ismail berkata, jawatankuasa berpendapat insentif yang ada ketika ini agak rendah dengan keadaan semasa dan berpandangan ia perlu dikaji semula dan dinaikkan daripada jumlah yang sedia ada.
"KBS akan menyerahkan cadangan itu kepada jawatankuasa Kabinet sedapat-dapatnya sebelum Sukan Olimpik untuk menentukan jumlah atau kadar berkaitan dengan perkara ini. Memang ada banyak cadangan, termasuk sehingga RM 2 juta, tetapi perlu ditegaskan, cadangan itu nanti adalah yang bersesuaian.
"Perlu diingat juga, selain insentif mereka akan mendapat gaji kemenangan pingat Olimpik selain pencen. Perkara ini akan turut dipertimbangkan dalam menentukan jumlah habuan kemenangan," katanya.
Ketika ini, atlit negara yang meraih pingat Olimpik akan diberi RM160,000 andai membawa pulang emas, RM80,000 (perak) dan RM40,000 (gangsa). Sebelum ini, antara cadangan dikemukakan termasuk menaikkan imbuhan itu sehingga RM1 juta.
Mengulas mengenai persiapan atlit, Ismail berkata, persiapan berjalan seperti biasa dengan ada atlit yang berlatih di luar negara untuk menyesuaikan keadaan cuaca di Olimpik kelak.
"Setakat ini kita tidak menjangkakan sebarang masalah dan atlit Olimpik ini kelak akan diletakkan di bawah satu bumbung di MSN bermula Mei depan supaya keadaan serta persiapan mereka dapat dipantau dengan lebih berkesan," katanya.
"KBS memperuntukkan RM9 juta untuk persiapan atlit negara ke Olimpik kali ini dan kita harap, pelaburan itu mampu menghasilkan pingat untuk negara lebih-lebih lagi dengan peningkatan sukan selain badminton ketika ini.
"Saya juga akan bertemu dengan setiap atlit bagi mendengar segala permasalahan mereka termasuk berusaha membantu atlit supaya dapat menyerapkan segala tekanan dan menumpukan kepada acara yang disertai ketika rakyat negara terlalu mengharapkan pingat" katanya.
BH
No comments:
Post a Comment