Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang mahu tiga atlet tersebut terus mengekalkan prestasi konsisten sepanjang berada dalam program tersebut.
Nur Suryani dan Muzlifah adalah penembak untuk acara Air Rifle manakala Joseline dalam acara Air Pistol.
Pemilihan mereka dalam program tersebut dibuat atas penilaian prestasi semasa sepanjang mewakili negara dalam kejohanan yang disertai.
Kata Zolkples, tiada had ditetapkan buat atlet sukan menembak untuk disenarai dalam program Road to Rio selagi berupaya mempamerkan kecemerlangan.
"Peluang buat atlet menembak yang lain untuk berada dalam senarai program ini masih lagi terbuka begitu juga untuk sukan-sukan lain.
"Bagi sukan lain kita masih lagi dalam proses menilai atlet-atlet mereka cuma untuk sukan memanah sudah ada yang kita kenal pasti untuk berada dalam program Road to Rio," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Kejohanan Menembak Air Gun Piala Ketua Pengarah MSN di sini, semalam.
Kejohanan tersebut di jadual berlangsung hari ini sehingga Sabtu ini di Gimnasium 3 MSN dengan mempertandingkan empat acara melibatkan 58 atlet bertanding.
Pada majlis tersebut juga Zolkples turut menyampaikan sepucuk Air Pistol baharu kepada Joseline dan dua laras Air Rifle kepada Nur Suryani dan Muzlifah sebagai pembakar semangat selepas disenarai dalam program Road to Rio.
Sementara itu, Zolkples turut memberitahu pada ketika ini ada beberapa sukan lain yang telah menunjukkan prestasi membanggakan sekali gus berpeluang untuk berada dalam senarai sukan teras.
"Buat masa ini kalau 19 sukan teras yang ada dapat kekal kita akan tambah lagi dan tidak semestinya akan berkurangan hanya kerana mahu memberi ruang kepada sukan lain yang kian menyerlah.
"Ketika ini sukan menembak masih lagi kekal dalam senarai sukan teras cuma saya harap mereka dapat mempamer prestasi yang baik pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti," kata Zolkples.
Nur Suryani Mohd. Taibi (kiri), Muslifah Zulkifli (kanan) dan Joseline Cheah menunjukkan gaya istimewa selepas penyerahan senjata untuk atlet program Rio pada majlis perasmian Kejohanan Menembak Air Gun Piala Ketua Pengarah MSN di Bukit Jalil, semalam.
- UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN
No comments:
Post a Comment