| |
| Nur Suryani Mohd. Taibi layak bertanding pada Sukan Olimpik London 2012. |
Penembak berusia 29 tahun itu layak selepas berkongsi tempat keempat dengan penembak Iran, Ahmadi Elaheh dalam peringkat akhir acara tersebut
Terdahulu, Nur Suryani membidik kombinasi skor 99-99-100-99 (397 mata) pada pusingan kelayakkan untuk melangkah ke final selaku pilihan keempat.
Pemenang pingat emas berganda Sukan SEA XXVI Indonesia itu seterusnya mengumpul tambahan 102.7 mata untuk menjadikan kutipan mata keseluruhan 499.7 mata.
Jumlah itu, walaupun sekadar meletakkannya di tempat keempat bersama Ahmadi, namun sudah memadai untuk Nur Suryani meraih baki dua kuota terakhir yang ditawarkan untuk benua Asia.
Satu lagi tiket jatuh ke tangan penembak Kuwait, Arzouqi Maryam yang muncul naib juara acara itu dengan catatan 500.6 mata.
China dan Iran masing-masing telah pun memiliki kuota maksimum kuota, jadi mereka tidak lagi layak untuk menerima tiket tambahan walaupun penembak mereka menguasai acara 10m Air Rifle pada Kejohanan Asia ini yang diadakan empat tahun sekali.
Acara itu dimenangi juara dunia yang juga pemegang rekod dunianya, Yi Siling dengan 502.2 mata manakala rakan sepasukannya yang merupakan juara Olimpik dua kali, Du Li menduduki merangkul gangsa dengan 500.4 mata.
"Memang sangat mengecewakan apabila saya terlepas tiket awal menerusi beberapa pusingan Piala Dunia tahun lalu, namun itulah juga sebabnya saya menjadi lebih berazam dan membuat persiapan lebih rapi untuk merealisasikan impian menjadi Olimpian.
"Saya bertandang ke Doha mengetahui peluang layak adalah amat cerah selagi saya dapat layak ke peringkat akhir.
"Setahu saya tiada penembak rifle wanita dari negara kita pernah ke Olimpik, saya bangga untuk menjadi yang pertama," katanya.
Dengan itu, Nur Suryani menjadi atlet terbaru sah ke London 2012 selepas Pandelela Rinong, Yeoh Ken Nee dan Bryan Nickson Lomas (terjun) dan trio memanah, Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamed dan Haziq Kamaruddin.
Sementara itu, dua lagi penembak kita yang turut beraksi dalam acara yang sama, Nur Ayuni Farhana Halim dan Muslifah Zulkifli masing-masing menduduki tempat ke-16 (394 mata) dan ke-27 (392 mata) daripada sejumlah 53 penembak kesemuanya.
Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment