| |
| |
KUALA LUMPUR - Mohd. Rizal Tisin (gambar) membawa khabar gembira buat kontinjen Olimpik negara apabila mempamerkan peningkatan paling ketara dalam latihan di Valencia, Sepanyol ketika ini, lapor TAUFEK A. RAZAK.
Pengurus pasukan, Abu Samah Wahab berkata, perkhabaran itu dimaklumkan jurulatih negara, John Beasley yang menganggap prestasi semasa Rizal itu mampu memperkuatkan lagi cabaran Malaysia dalam acara pecut berpasukan di Beijing nanti.
"John begitu teruja dengan prestasi Rizal yang semakin baik dan banyak meningkat sejak menjalani latihan di Valencia mulai 29 Jun lalu.
"Ia jelas memberi keyakinan kepada John bahawa kita mampu memiliki gandingan pelumba yang lebih seimbang dari segi kekuatan," katanya.
Selain Rizal, trio pecut berpasukan Olimpik negara turut dianggotai Azizulhasni Awang dan Josiah Ng manakala Mohd. Ederus Yunus sebagai pelumba simpanan.
Selain acara pecut berpasukan, pelumba Malaysia turut menyertai dua acara lagi iaitu 200 meter pecut (Azizulhasni) dan keirin (Azizulhasni dan Josiah) pada temasya itu Ogos ini.
Menurut Abu Samah, peningkatan yang ditunjukkan Rizal sesuatu yang amat positif dan begitu dinantikan pihaknya.
Ini kerana Rizal mampu mengurangkan jurang perbezaaan dari segi tahap keupayaan dengan Azizulhasni dan Josiah.
"Ini mampu memberi banyak pilihan kepada John dalam mengatur kedudukan pelumba," ujarnya.
Buat masa ini kata Abu Samah, selain menjalani latihan insentif, keempat-empat pelumba itu turut mengintai untuk menyertai satu lagi pertandingan di Jerman pada 17 Julai ini.
Bagaimanapun ia masih bergantung kepada usaha Beasley untuk mendapat kebenaran menyertainya.
Utusan
No comments:
Post a Comment