Thursday, July 10, 2008

Peluang terakhir Robani

KUALA LUMPUR - Selepas mengkritik layanan 'kelas dua' yang diberi kepadanya dan terlepas 0.13 saat daripada had kelayakan Sukan Olimpik, Robani Hassan diberi peluang terakhir memburu tiket ke Beijing apabila diangkat mengetuai senarai 10 atlet yang dicadangkan untuk bertanding pada Terbuka Vietnam, minggu depan.

Jaguh 110 meter lari berpagar itu terus mendapat kepercayaan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang mencadangkan namanya dan sembilan lagi atlet untuk mencari tiket terakhir Olimpik di Vietnam.

Walaupun ada atlet yang menganggap cuaca di Vietnam ketika ini tidak sesuai dijadikan medan kelayakan kerana keadaannya yang berangin dan tidak memungkinkan catatan pantas dibuat, namun KOAM punya alasan tersendiri untuk memilih kejohanan tersebut.

Pada ketika tarikh tutup kelayakan olahraga Olimpik sudah semakin suntuk - 23 Julai, Terbuka Vietnam merupakan pentas paling hampir dari segi tarikh dan lokasi.

Selain Robani, 25, KOAM turut mencadangkan dua lagi pelari 110m berpagar - pemenang pingat emas dan gangsa Sukan SEA, Rayzamshah Wan Sofian dan Muhd. Faiz Mohamed.

DiputuskanMalah, badan olahraga itu juga menyenaraikan Zabidi Ghazali (100m, 200m), Mohd. Zafril Mohd. Zuslaini (400m berpagar), Yap Jeng Tzan (lempar cakera wanita), Azman Mohamed (tukul besi), Peter Agan (rejam lembing), S. Mathialagan (400m, 800m) dan Tan Song Hwa (tukul besi wanita).

Bagaimanapun, senarai akhir atlet yang akan bertanding pada kejohanan 19-20 Julai itu hanya akan diputuskan hari ini selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Minggu lalu, Robani hanya dipisahkan 0.13 saat daripada had kelayakan Olimpik apabila mencatat 13.85s pada Kejohanan Olahraga Pra-Olimpik di Bukit Jalil, catatan masa peribadi terbaiknya namun gagal melepasi syarat - 13.72s.

Atlet muda berbakat, Rayzamshah pula gagal menamatkan perlumbaan selepas melakukan kesilapan teknikal, manakala Faiz menduduki tangga ketiga dengan mencatat masa 14.33s.

"Terbuka Vietnam menjadi peluang terakhir buat atlet negara untuk mencari tiket ke Sukan Olimpik, harap mereka dapat gunakan kesempatan ini atau sekurang-kurangnya mencatat masa terbaik.

"Robani begitu hampir melayakkan diri ke Sukan Olimpik minggu lalu selepas mencatat masa yang baik, cuma kurang sedikit daripada had kelayakan. Harap dia dapat melakukan catatan yang lebih baik di Vietnam nanti,'' kata Pengurus Besar KOAM, Aminuddin Mohd. Nasir.

Setakat ini, hanya tiga atlet olahraga negara sudah melayakkan diri ke Temasya Beijing, 8-24 Ogos ini diketuai Roslinda Samsu (lompat bergalah), Lee Hup Wei (lompat tinggi) dan Yuan Yufang (jalan kaki).

Utusan

No comments:

Post a Comment