Thursday, July 17, 2008

Amirul dipanggil pulang awal


AMIRUL akan pulang ke Malaysia selepas menjalani latihan intensif selama dua minggu di China.


PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) memanggil pulang atlet angkat berat negara, Amirul Hamizan yang sedang menjalani latihan intensif di Wuzhishan China sejak dua minggu lalu.

Langkah itu adalah untuk memastikan Amirul dapat melengkapkan persiapan terakhir seperti yang dirancangkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Amirul yang bertanding bagi kategori 56kg dan layak ke Sukan Olimpik melalui pencapaian individu selepas melakukan angkatan terbaik keseluruhan 262kg semasa Kejohanan Kelayakan Olimpik di Beijing April lalu.

Setiausaha PABM, Suhaimi Khamis berkata, Amirul dipanggil pulang bagi membolehkannya menyelesaikan beberapa perkara sebelum bertolak ke Beijing.

Menurutnya, dia perlu menjalani pemeriksaan ujian fizikal, mental dan tahap kecergasan sebagai persiapan terakhir.

“Jangan menyalah anggap tindakan kita memanggil Amirul pulang awal daripada menyertai latihan intensif di China.”

Suhaimi berkata, Amirul sudah bersedia untuk menghadapi temasya berprestij itu meskipun dari segi persediaan ia dilihat masih belum mencukupi.

“Pada dasarnya, latihan yang disertainya belum cukup kerana dia disahkan layak ke Sukan Olimpik pada Jun lalu. Namun saya yakin, dia mampu mencipta kejutan,” ujarnya.

Beliau berkata, Amirul akan terus mendapat latihan daripada jurulatih dari China, Xin Hui Lin yang juga bekas pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik.

“Hui Lin telah melatih Amirul sejak usia 16 tahun di Rompin. Kepakaran dan pengalaman Hui Lin amat dituntut bagi memastikan wakil tunggal atlet angkat berat dapat meraih pingat untuk negara pada temasya Olimpik kelak,” katanya.

Mengenai tahap kecergasan Amirul, Suhaimi berkata: ”Saya dimaklumkan Amirul tidak menghadapi sebarang kecederaan. Dia juga telah menunjukkan peningkatan dari segi angkatan.

“Amirul juga tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri di Beijing nanti kerana tempat latihan sekarang cuacanya sama seperti di Beijing,” ujarnya.

KOSMO!

No comments: