DENGAN 31 atlit negara sudah layak ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini - jumlah tertinggi dalam sejarah penyertaan negara - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengharapkan persembahan lebih baik berbanding empat tahun lalu di Athens.
Presidennya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, berkata sekurang-kurangnya empat sukan iaitu badminton, lumba basikal, memanah dan taekwondo berpeluang untuk mencipta kejutan pada temasya berprestij itu.
Selain itu, MOM juga mengharapkan jumlah atlit beraksi di Beijing akan meningkatkan kepada 35, apabila beberapa sukan seperti angkat berat, trialtlon, olahraga dan lumba basikal memuktamadkan atlit masing-masing Jun ini.
“Setakat ini 31 atlit sudah layak ke Beijing, Ogos ini,” kata Tunku Imran pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif MOM di Kuala Lumpur, semalam. “Jumlah ini melepas angka terbaik iaitu 26 atlit yang beraksi di Athens empat tahun.
“Ia satu peningkatan yang baik buat sukan negara dan MOM mengharapkan jumlah ini akan meningkatkan kepada 35 kerana ada beberapa sukan masih dalam proses pemilihan ke Sukan Olimpik Beijing.“Sudah tentu badminton adalah harapan terbaik untuk memenangi pingat tetapi saya berpendapat sukan lain seperti lumba basikal, memanah dan teakwondo juga mempunyai peluang untuk melakarkan sesuatu di Beijing,” kata Kok Chi.
Mesyuarat semalam juga memutuskan untuk mengemaskan perlembagaan MOM seiringan dengan apa yang dituntut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
“Perlembagaan MOM sebenarnya belum diluluskan IOC kerana ada beberapa klausa dalam jawatankuasa olimpik antarabangsa itu tidak dimasukkan dalam perlembagaan kami,” kata Tunku Imran. “Justeru, kami akan memasukkan dan juga memperkemaskan beberapa perkara lain dalam perlembagaan.”
No comments:
Post a Comment