Datuk Ho Koh Chye |
CHEF-de-Mission Malaysia ke Sukan Olimpik Beijing, Datuk Ho Koh Chye (gambar) tiada halangan untuk membenarkan atlit negara yang layak ke temasya itu beraksi di Sukma, walaupun menyedari mereka terdedah kepada risiko kecederaan.
Tegasnya, ia menjadi tanggungjawab atlit dan jurulatih itu sendiri untuk mengelakkan diri daripada kecederaan dengan kedua-dua pihak perlu mengetahui had kemampuan maksimum mereka.
"Tiada gunanya seseorang atlit beraksi di Sukma tetapi mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi di Olimpik.
"Saya tidak menentang penyertaan atlit Olimpik ke Sukma kerana temasya ini mempunyai beberapa objektif. Bagi atlit yang sudah melayakkan diri ke Olimpik, pentas Sukma bukan sasarannya sebaliknya ia adalah medan untuk mempersiapkan diri bagi Olimpik," katanya selepas meninjau persiapan skuad taekwondo dan akuatik di Bukit Jalil semalam.
Sukma yang dilangsungkan di Terengganu mulai 31 Mei hingga 9 Jun ini membuka penyertaan kepada atlit kebangsaan tetapi dihadkan kepada dua acara sahaja.
Ketika mengulas peluang Malaysia yang menghantar kontinjen 31 atlit daripada sembilan sukan untuk memenuhi sasaran memenangi pingat tanpa mengira warna, Koh Chye melihat trio memanah negara sebagai harapan terbaik untuk menamatkan kemarau pingat sejak 2000.
"Jika anda melihat persembahan atlit ketika pusingan kelayakan, atlit negara dilihat mempunyai peluang baik untuk memenangi emas. Tetapi melihat prestasi semasa, peluang dilihat terbuka untuk meraih pingat tanpa mengira warna.
"Saya melihat skuad memanah mampu mencapai kejayaan di sana," katanya.
Koh Chye, yang juga bekas penjaga gol skuad hoki negara melihat kegagalan pasukan hoki kebangsaan melayakkan diri buat kali kedua berturut-turut sebagai peringatan untuk bangkit daripada lamunan.
Baginya sebarang langkah yang diambil selepas ini, seperti mengambil jurulatih penyerang, Jamie Dwyer seharusnya langkah jangka panjang dan bukannya untuk satu atau dua minggu.
"Jika anda membawanya untuk satu minggu, saya memikirkan bagaimana dia dapat membantu kita. Lebih baik jika dia datang buat satu atau dua tahun, dan bermula daripada peringkat sekolah," katanya.
BH
No comments:
Post a Comment