Friday, April 18, 2008

Tiada sebab pulau Olimpik: Kok Chi



Oleh Lukman Salleh

TIDAK terlintas dalam fikiran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memboikot Sukan Olimpik 2008 di Beijing, Ogos ini berikutan perkembangan negatif yang melanda tuan rumah kebelakangan ini, sebaliknya yakin dengan kemampuan China untuk menjamin keselamatan atlit yang bakal hadir bertanding.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata isu memboikot Sukan Olimpik 2008 tidak harus timbul kerana tidak ada masalah besar yang melanda sehingga menggugat kelancaran temasya itu dan apa yang berlaku, terutama gangguan ketika Larian Obor adalah kes berbeza.

"MOM tidak membincangkan langsung mengenai kemungkinan memboikot Sukan Olimpik," kata Kok Chi kepada Berita Harian Sukan, semalam. "Isu itu tidak berbangkit langsung. Malah, semua negara sudah bersedia untuk bertanding.

"Justeru, perkara ini tidak perlu dibincangkan ketika mesyuarat Majlis MOM Sabtu ini, kerana saya yakin semua persatuan mahu atlit kita bertanding di Temasya Beijing ini.

"Setakat ini kita juga tidak dengar ada negara yang mahu memboikot Sukan Olimpik Beijing. Justeru, kenapa harus dibangkitkan perkara ini, malah MOM yakin dengan persediaan Beijing untuk memastikan temasya ini berlangsung dengan jayanya," kata Kok Chi.

Sekalipun persediaan Sukan Olimpik Beijing dilanda kekalutan akibat daripada tunjuk perasaan rakyat Tibet serta gangguan kepada Larian Obor yang berlangsung ketika ini, tidak ada negara yang menyuarakan hajat bahawa mereka mempertimbangkan untuk tidak mahu menghantar atlit menyertai temasya agung dunia itu.
Malah, Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang bersidang di Beijing, baru-baru ini, turut menentang sebarang usaha untuk menghalang atlit bertanding di temasya itu dan sama sekali tidak akan memboikot temasya ini.

Mengenai Larian Obor yang akan dilangsungkan Ahad ini, Kok Chi berkata semua persediaan termasuk faktor keselamatan sudah dirancang dan melahirkan keyakinan larian itu � yang menggambarkan keamanan sejagat � tidak menghadapi sebarang gangguan.

"Persediaan berjalan lancar ketika ini dan saya yakin bahawa Larian Obor pasti meriah tanpa ada sebarang masalah," katanya.

No comments: