MASIH ada 107 hari sebelum Sukan Olimpik Beijing bermula Ogos ini dan Malaysia sudah mula berdebat sama ada kontinjen negara berkemampuan untuk membawa pulang pingat, yang kali terakhir dilakukan pada 1996 di Atlanta.
Harapan utama negara di Beijing, badminton, tidak begitu meyakinkan ketika ini hingga Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob, merumuskan peluang agak tipis buat Malaysia menamatkan kemarau emas Olimpiknya.
Namun begitu, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, meletakkan perdebatan ini dalam perspektif berbeza dengan menyatakan bahawa tiada sebarang jaminan bagi kejayaan di Beijing.
“Semua negara mahu memenangi pingat di Olimpik dan Malaysia juga tidak terkecuali,” kata Kok Chi. “Tetapi sebenar tiada sebarang jaminan untuk kejayaan di temasya itu. Ini sudah terbukti dalam temasya sebelumnya.
“Ada pemain yang bagus dengan memenangi kejuaraan antarabangsa tetapi apabila tiba di Sukan Olimpik, dia tidak dapat mengulanginya sebaliknya pemain yang tidak diberi peluang yang berjaya mencapai kejayaan.
“Apa yang penting ialah bagaimana perasaan seseorang atlit pada hari pertandingan? Mampukah ia dapat mengeluarkan permainan terbaiknya ketika temasya itu, yang menjadi persoalan utama. Maka, semua bergantung kepada atlit berkenaan,” katanya.
Ini disebabkan prestasi buruk skuad badminton di kejohanan badminton Asia (ABC) di Johor Baru, minggu lalu, hingga menimbulkan kebimbangan kepada Ismail Sabri bahawa Malaysia akan sekali lagi pulang hampa dari Beijing.
“Atlit kita hanya boleh mencuba dan memberikan yang terbaik,” kata Kok Chi. “Hanya itu yang boleh kita harapkan dan terpulang kepada mereka untuk menterjemahkan latihan dan persediaan mereka kepada kejayaan di Beijing.”
No comments:
Post a Comment