MASALAH: Gandingan Kien Keat (kiri) dan Boon Heong cetus rasa bimbang tapi Kim Hock yakin pasangan ini pasti bangkit pada Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini. |
'Pemain mampu lakar sejar di Olimpik Beijing sekalipun gagal menyerlah di ABC'
DI sebalik teguran membina, belum terbit rasa cemas pada skuad badminton Malaysia ketika hangat dipertikaikan kemampuan pemain negara memburu kilauan pingat di Sukan Olimpik sesudah aksi buruk pada Kejohanan Asia (ABC), di Johor Bahru, minggu lalu.
Apapun, ketua jurulatih badminton negara, Yap Kim Hock tetap menghargai pandangan ikhlas diutarakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, kelmarin tetapi ketika sama mempertahankan bahawa anak didiknya ke Beijing, Ogos ini masih berada di atas landasan baik buat melakar kejayaan di gelanggang saingan nanti.
Terdahulu, situasi pincang itu mengundang amaran daripada Ismail Sabri yang tampil memberi suatu gambaran menakutkan betapa disiplin popular ini tidak akan dapat memenangi sebarang pingat andai prestasi sama di ABC berulang.
"Saya tetap menghargai serta akan memberi perhatian serius kepada pandangan Menteri Belia dan Sukan," kata Kim Hock semalam. "Memang semua orang akan pasti berasa bimbang dengan prestasi badminton jika persembahan pemain kita di Johor Bahru dijadikan suatu ukuran.
"Tetapi kita tidak boleh membuat andaian bahawa kedudukan pemain kita di Sukan Olimpik dalam keadaan sukar sebaliknya saya berpendapat pemain kita masih memiliki kemampuan untuk mencipta sesuatu di Beijing.
"Kami juga tidak berasa cemas dengan situasi sekarang kerana berasa masih mempunyai cukup masa dalam tempoh empat bulan ini untuk memperbaiki segala kesilapan pemain dan memantapkan jentera barisan kita.
"Kita menyedari memang ada kelemahan kepada pemain terutama gandingan (Koo) Kien Keat-(Tan) Boon Heong dan kita sedang berusaha keras untuk memperbetulkannya. Begitu juga dengan pemain yang menjalani latihan bersungguh-sungguh," kata Kim Hock.
Kelmarin, bercakap kepada pemberita selepas acara Larian Obor Sukan Olimpik Beijing, Ismail Sabri menyuarakan amaran tegas betapa Malaysia bakal pulang tangan kosong andai skuad badminton terus menyajikan persembahan buruk seperti ditunjukkan Johor Bahru, minggu lalu.
Sambil melahirkan rasa bimbang dengan prestasi semasa pemain, dia beranggapan adalah penting Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah drastik menyekatkan kemerosotan pemain agar Malaysia tidak berdepan masalah apabila melangkah ke gelanggang saingan di Beijing nanti.
"Chong Wei menang satu kejuaraan musim ini dan agak konsisten," kata Kim Hock. "Hanya Kien Keat-Boon Heong yang perlu dimantapkan. Sebenarnya kita banyak belajar daripada apa yang melanda beregu utama negara ini.
"Sebelum ini mereka hanya menang saja sehingga kita terlepas pandang kelemahan yang ada dan sekarang ini kita sudah menyedari betapa Kien Keat-Boon Heong masih mempunyai ruang untuk diperbaiki," katanya.
No comments:
Post a Comment