Monday, March 17, 2008

Tiga penerjun berhak nikmati skim galakan Sukan Olimpik

Oleh Lukman Salleh

MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengesahkan tiga penerjun - Leong Mun Yee, Elizabeth Jimie dan Pandelela Rinong - berhak menikmati skim galakan Sukan Olimpik selepas berjaya melayakkan diri beraksi di Beijing, Ogos ini.

Pengesahan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong itu menepis cadangan bahawa ketiga-tiga penerjun ini tidak layak menikmati skim galakan itu apabila kelayakan mereka untuk Beijing bukan secara automatik hasil daripada kejohanan dunia, sebaliknya melalui pemilihan kedua pertandingan Piala Dunia.

Kelayakan mereka ini menimbulkan persamaan dengan kejayaan atlit lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu yang turut menempah tiket ke Beijing, tetapi tidak memenuhi syarat menikmati skim galakan itu apabila kelayakannya itu tidak berdasarkan merit kerana melalui kategori B, sekalipun ia diiktiraf Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).


Memandangkan Persekutuan Akuatik Antarabangsa (FINA) tidak mempunyai kelayakan kategori B bagi terjun, Mun Yee, Elizabeth dan Pandelal boleh di anggap bertuah menikmati skim galakan Olimpik ini.

“Ketiga-tiga penerjun ini akan menikmati skim galakan Olimpik MSN,” kata Zolkples, semalam. “Saya sudah merujuk perkara ini dengan Asum (Kesatuan Renang Amatur Malaysia) dan mereka mengesahkan bahawa ketiga-tiga penerjun ini melayakkan diri secara merit.

“Sebenarnya ada kelayakan automatik melalui kejohanan dunia dan selepas pemilihan kedua melalui Piala Dunia, dan penerjun kita disahkan tempat mereka oleh persekutuan antarabangsa, iaitu FINA.”

Di bawah skim galakan Olimpik ini, atlit akan menerima habuan RM5,000 sebaik mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Beijing dan elaun bulan RM1,000 akan turut dinikmati, bermula dari tarikh kelayakan sehingga temasya Beijing bermula, Ogos ini.

Tatkala, semua pihak berasa gembira dengan kejayaan ketiga-tiga penerjun ini tetapi mungkin boleh diperdebatkan sama ada kelayakan mereka ini adalah berdasarkan kepada merit, kerana kelayakan automatik hanya kepada 12 penerjun teratas yang beraksi dalam kejohanan dunia yang boleh di anggap sebagai kelayakan kategori A.

Tetapi bagi mereka yang terlepas serta gagal pada kejohanan dunia ini, masih berpeluang untuk layak dengan mengambil bahagian dalam Piala Dunia, yang dianggap peluang kedua serta boleh disamakan dengan kategori B. Tetapi malangnya FINA tidak mempunyai kelayakan kategori A dan B untuk terjun sebaliknya hanya untuk renang.

No comments: