Dua atlit berkenaan juga akan menerima pembayaran elaun bulanan serta insentif tambahan jika memenangi pingat pada acara utama seperti Sukan Sea, Sukan Komanwel, Sukan Asia serta Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF), sesuatu yang harus membangkitkan semangat mereka untuk terus beraksi pada tahap terbaik.
Pengarah Urusan YTL Power Services Sdn Bhd, Harald E Burchardt, berkata penajaan terhadap dua atlit itu adalah kesinambungan terhadap usaha badan korporat berkenan yang sudah menaja atlit negara sejak 1999.
Tanpa menyatakan jumlah tajaan, Burchardt menegaskan penajaan itu diharapkan akan dapat meringankan beban dua atlit terbabit di samping berpeluang mendapat lebih imbuhan andai mereka berjaya merakam kemenangan dalam kejohanan utama selepas ini.
Sin Mei sudah mendapat penajaan YTL sejak 2005 dan bantuan akan terus diberikan kepadanya sehingga akhir tahun ini manakala Hup Wei akan mendapat penajaan bermula tahun ini sehingga Mac tahun depan.
“Sebelum ini, kami menaja atlit lompat tinggi, Loo Kum Zee sehingga dia bersara pada 2003. Dia sangat berjaya dengan memenangi emas pada tiga Sukan Sea dan tiga pingat gangsa di ATF.
“Sejak 2005, kami menaja Sin Mei kerana dia berpotensi dan kami tidak pernah meminggirkan dia walaupun kerap cedera pada 2006 dan 2007.
“Hup Wei pula ialah pengganti kepada Kum Zee dan dia memiliki latar belakang keluarga yang susah tetapi dia memiliki potensi besar dan mengejutkan ramai orang apabila menang di ATF Jordan, tahun lalu,” katanya pada sidang media penajaan YTL terhadap dua atlit berkenaan di ibu kota, semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Aziz dan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.
Sementara itu, Hup Wei menjelaskan dia memiliki empat kejohanan utama untuk layak ke Beijing yang dimulakan dengan Terbuka Thailand pada penghujung April ini selain tiga Kejohanan Olahraga Grand Prix Asia yang akan berlangsung di Bangkok, Korat dan Hanoi, Vietnam pada Jun ini.
“Saya baru pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami sebelum Sukan Sea lalu dan saya akan cuba melepasi had kelayakan Kategori B pada ketinggian 2.27 meter sebelum tarikh terakhir untuk melakukannya Julai ini,” kata Hup Wei.
Bagi Sin Mei pula, dia akan mula berlatih bulan depan selepas berehat panjang akibat kecederaan pergelangan kaki dan lutut.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment