Wednesday, January 16, 2008

Perang psikologi badminton Olimpik memuncak

PERANG psikologi untuk perebutan pingat acara badminton pada temasya Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini, sudahpun bermula - dengan Malaysia tampak menjadi sasaran pilihan barisan pencabar utama ketika ini.

Ianya bermula apabila bekas jurulatih negara, Li Mao - yang kini melatih skuad Korea Selatan - 'melepaskan' tembakan pertama apabila menyifatkan tiada wujud perpaduan dalam kem negara.

China, menerusi jurulatihnya, Zhang Bo, pula cuba mencipta situasi penuh menakutkan apabila menegaskan betapa barisan pemain Tembok Besar itu sudah bersedia memanfaat kelebihan gelanggang sendiri buat menjelmakan dominasi total nanti.


Ketua jurulatih Jepun, Park Joo-bong pula cuba memancing resah apabila menyifatkan sandaran utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, belum cukup mantap untuk menamatkan penantian kilauan emas sejak sekian lama.

Semua itu terjelma ketika himpunan pemain terbaik dunia berkumpul di Stadium Putra untuk saingan Siri Super sulung pada 2008 - Terbuka Malaysia - bermula hari ini.

Itu bagaimanapun tidak mengundang gelisah ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock, yang menyifatkan situasi itu bakal tambah sengit dan hebat apabila kian hampir detik persaingan nanti.

"Semua itu memang dijangkakan. Apa yang boleh kita lakukan ketika ini ialah bersedia daripada semua segi untuk memastikan sasaran yang ditetapkan, mampu dicapai, tanpa mengambil kira apa yang lawan lakukan," katanya.

Antara langkah yang sudah diatur termasuk memantapkan ketahanan mental pemain supaya tidak mudah terganggu dengan 'mainan psikologi' sebegitu.

"Ada pemain yang sebelumnya mampu terjejas kerana keadaan sebegini. Ada pula yang menjadikan gangguan sebegini sebagai faktor pembakar semangat. Inilah aspek yang kini diberi penekanan hasil daripada bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

No comments:

Post a Comment