Thursday, January 17, 2008

Emas Olimpik masih terbuka

JAGUH China, Lin Dan, mungkin kini ibarat tidak dapat 'disentuh' lawan, tetapi andai sejarah jadi ukuran, itu bukan ketentuan dia akan mampu mengungguli saingan dan menguasai kilauan emas ketika temasya Sukan Olimpik di Beijing nanti.

Hakikat terserlah kini ialah pada dua edisi Sukan Olimpik sebelumnya, pemain yang hadir berstatus nombor satu dunia dan diberikan penghormatan selaku pilihan pertama, akan kecundang tanpa mampu memenangi pingat.

Kenyataan itu ditonjolkan jurulatih Taufik Hidayat, Mulyo Handoyo, yang menganggap betapa jurang di kalangan kelompok pemain utama ketika ini terlalu kecil untuk mana-mana pemain diangkat selaku pilihan pasti.

"Lihat apa yang berlaku kepada Taufik pada 2000. Ketika itu, dia dianggap pilihan utama, tetapi dia kecewa. Empat tahun lalu, giliran Lin Dan dan dia juga gagal memenanginya. Saya percaya keadaan itu mampu berulang kali ini juga," katanya.

Namun itu tidak bermakna Mulyo memperkecilkan rentetan kehebatan Lin Dan, tetapi sebaliknya menegaskan betapa pemain itu sendiri perlu bijak menangani pelbagai faktor yang perlu dihadapi selaku pilihan utama.

"Bagi saya, peluangnya memang tetap ada. Tetapi bermain di tempat sendiri bermakna dia perlu lebih bersedia.

"Cabaran juga dilihat mampu dihasilkan pemain-pemain lain. Ketika ini, China ada tiga pemain dalam kelompok empat teratas ranking dunia. Seorang lagi Lee Chong Wei. Selepas itu ada Taufik dan Peter Gade. Semuanya berpeluang," katanya.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment