Thursday, July 9, 2015

Tetap hantar



Kuala Lumpur: Malaysia tetap akan menghantar skuad hoki lelaki negara ke Sukan Olimpik 2016 sekiranya ditawarkan tiket ke temasya itu meskipun tidak layak secara merit pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium yang berakhir Ahad lalu.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, segala keputusan akan berpandukan kepada peraturan sedia ada dan sekiranya skuad negara diberikan peluang ke Sukan Olimpik, tiada sebab untuk Malaysia menolak tawaran itu.

“Jika peraturan memberi ruang kepada kita dan ditakdirkan masih layak ke Sukan Olimpik, kita akan hantar walaupun bukan layak secara merit,” katanya pada sidang media semalam.

Khairy ditanya adakah Malaysia akan mengikut pendirian Konfederasi Sukan dan Jawatankuasa Olimpik Afrika Selatan (SASCOC) yang tidak akan menghantar pasukan kebangsaan mereka ke Sukan Olimpik selepas gagal layak secara merit untuk ke temasa sukan terbesar itu di saingan kelayakan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Skuad negara kini perlu menunggu keputusan empat kejohanan benua lain untuk mengira untung nasib mereka.

Peluang ke Sukan Olimpik dilihat sangat tipis selepas skuad bimbingan Tai Beng Hai sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya akan melakukan kajian terperinci sama ada akan memasukkan acara hoki ke Program Podium atau sebaliknya.

“Sebab program ini bukan tertumpu pada Sukan Olimpik saja, tetapi ia membabitkan Sukan dan dan Komanwel.

“Jawatankuasa Program Podium akan menilai prestasi pasukan kita di Belgium,” katanya.




Ferzalfie Fauzi- Arena, Harian Metro
 
 

No comments: