Thursday, July 9, 2015

Peng Kean sudah pulih secara klinikal sebelum ke Universiade - Dr Ramlan

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Penyertaan atlet lawan pedang, Yu Peng Kean di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan adalah atas pilihan sendiri walaupun dia masih menjalani proses pemulihan ke atas lututnya yang cedera.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata pihaknya tiada halangan untuk atlet itu beraksi kerana secara klinikal, kecederaannya itu sudah pulih.

Namun, Dr Ramlan mengakui Peng Kean masih menjalani proses pemulihan untuk membolehkannya mencapai prestasi terbaik seperti sebelum ini.

Begitupun atas komitmen dan hasrat untuk membalas jasa universiti, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mahu meneruskan aksi di Korea Selatan walaupun sedar dia masih dalam proses pemulihan.

"Secara klinikal dia sudah pulih, namun ada beberapa perkara yang perlu diatasi dari segi kekuatan otot paha dan kaki yang memberi sokongan kepada sendi lututnya yang perlu ditambah baik.

"Namun secara prinsipnya lebih elok dia meneruskan proses pemulihan sehingga dapat meningkatkan kekuatan kepada tahap yang lebih tinggi sesuai dengan keadaan ketika dia bertanding pada Sukan Olimpik 2012," katanya kepada Bernama.

Penyertaan Peng Kean di Universiade mencetuskan persoalan apakah dia sudah benar-benar pulih kerana kecederaan lama di lutut kanannya berulang ketika beraksi di pusingan kalah mati acara sabre.

Peng Kean, 24, yang menduduki ranking ke-133 dunia berjaya menewaskan dua lawannya di peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Di pusingan kalah mati itu, kecederaannya berulang ketika ketinggalan 9-13 sewaktu bertemu atlet Itali, Riccardo Nuccio, sehingga dinasihati menarik diri oleh pegawai perubatan.

Situasi itu menjejaskan rentak Peng Kean yang akhirnya terpaksa akur kepada lawan dengan kekalahan 12-15.

Kecederaan yang dialami dalam satu pertandingan di Korea Selatan pada 2011 memaksa Peng Kean menjalani pembedahan sebaik pulang dari Sukan Olimpik London 2012.

Menurut Dr Ramlan, sebagai pengamal perubatan, beliau hanya boleh menasihatkan atlet mengenai tahap kesihatan dan kecergasan mereka sekiranya mahu beraksi tetapi keputusan akhir berada di tangan atlet sendiri.

"Hanya kalau apa-apa yang membahayakan diri atlet, tentu sekali kita akan halang. Disebabkan ini tidak membahayakan apa-apa, Peng Kean perlu akur tidak akan mencapai tahap prestasi yang tinggi," jelas Dr Ramlan.

Sementara itu, Dr Ramlan berkata beliau akan memantau kecederaan Peng Kean selepas atlet berkenaan kembali ke tanah air dan memberikan rawatan susulan sekiranya perlu.

-- BERNAMA

No comments: