Tuesday, January 22, 2013

Bukan jaminan emas: Zolkples

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mampu menjanjikan pingat emas dapat dihasilkan pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 biarpun menerima bantuan RM200 juta sekalipun.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, banyak perkara yang mendorong pencapaian seorang atlet itu dan tidak hanya bergantung kepada peruntukan semata-mata.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan RM50 juta untuk pelaksanaan peringkat awal program Road to Rio yang akan digunakan sepenuhnya bagi melaksanakan program pada peringkat awal dengan 11 sukan sudah dikenal pasti.

“Dengan RM50 juta itu sepatutnya kita sudah boleh menang emas. Tapi selalu saya sebutkan, peruntukan tidak menjanjikan apa-apa pingat. Jika mempunyai RM200 juta sekalipun, saya belum boleh janji pingat emas dapat dihasilkan.

“Banyak faktor yang menyumbang pencapaian prestasi atlet bukan saja peruntukan perbelanjaan. Ia membabitkan jurulatih, pertandingan, latihan, khidmat sokongan, sains sukan dan perubatan yang kita tidak dapat mengawalnya.

“Tapi apa yang boleh saya janjikan, kita akan melakukan program lebih baik berbanding program Road to London,” katanya.

Program Road to London sebelum ini menerima peruntukan RM20 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) namun hanya RM16 juta digunakan dengan kontinjen negara berjaya membawa pulang satu perak dan satu gangsa menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton dan gangsa dari Pandelela Rinong dalam acara terjun.

Zolkples memaklumkan program Road to Rio sudah bermula sejurus selepas tamatnya temasya Sukan Sea di Indonesia dan MSN akan menggunakan sepenuhnya peruntukan itu dan akan diubah suai andai menerima peruntukan tambahan. Mengulas tajaan 100Plus yang diteruskan buat tahun ke-13, Zolkples yang ditemui pada sidang media Perjanjian Persefahaman (MoU) antara MSN dan 100Plus berkata, beliau berterima kasih atas sokongan berterusan daripada 100Plus yang menambah jumlah tajaan.

Biarpun 100Plus memilih untuk tidak mendedahkan jumlah sumbangan itu, Zolkples berkata, yang penting kerjasama dengan badan korporat membantu kerajaan menjalankan program pembangunan sukan di negara ini.



Oleh Aida Adilah Mata - Arena - Harian Metro

No comments: