Wednesday, August 15, 2012

SSBJ bangga lahir pemenang pingat Olimpik

SEPANG - Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Datuk Marina Chin mungkin merupakan antara orang yang paling gembira ketika menyambut kepulangan penerjun Olimpik negara, Pandelela Rinong dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam.
Ini kerana sejak penubuhannya pada 1 Januari 1996, SSBJ akhirnya berjaya juga melahirkan seorang atlet yang bergelar pemenang pingat Sukan Olimpik.

Pandelela merupakan alumni SSBJ 2010.
"Kecemerlangan Pandelela pada Sukan Olimpik 2012 pastinya akan menjadi inspirasi dan ikutan pelajar-pelajar lain di SSBJ untuk mengikut jejak langkah senior mereka.
"Saya yakin kejayaan Pandelela akan membuatkan pelajar SSBJ lebih yakin terhadap keupayaan diri mereka sendiri.

"Kalau Pandelela dapat melakukannya, mereka juga boleh," kata Marina yang mengetuai kumpulan 50 pelajar SSBJ menyambut ketibaan Pandelela dan skuad akuatik negara yang tiba ke tanah air setelah menyertai Sukan Olimpik London.
Sebahagian besar daripada skuad terjun kebangsaan dibarisi sama ada bekas atau pelajar SSBJ ketika ini.

Mempunyai tujuh produk SSBJ yang bergelar atlet Olimpik sudah cukup membanggakan.
Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee, dan Cheong Jun Hoong juga merupakan alumni manakala Traisy Vivien Tukiet, Wendy Ng Yan Yee masih menuntut di SSBJ.



Oleh TAN MING WAI dan ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

No comments: