Wednesday, August 15, 2012

Shabery minta maaf tak capai sasaran emas

SEPANG - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan kegagalan mencapai sasaran yang ditetapkan pada Sukan Olimpik London 2012.

Menurutnya, sasaran untuk meraih satu emas Olimpik masih belum memihak kepada Malaysia meskipun atlet-atlet negara telah berusaha sedaya upaya.

Namun tegas beliau, impian untuk mendapatkan pingat emas pertama Olimpik tetap bernyala dan kini dialihkan pada Sukan Olimpik akan datang di Rio de Janeiro, Brazil 2016.

"Sungguhpun kita tidak mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi penglibatan orang ramai yang sama-sama meraikan prestasi cemerlang atlet kita menjadikan Sukan Olimpik kali ini unik dan berjaya.
"Namun saya akui sasaran yang kita hebahkan tidak menjadi, jadi saya rasa baiklah saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana harapan untuk mendapatkan emas pertama masih belum tercapai," katanya.

Beliau menyambut kepulangan pemenang pingat gangsa Olimpik 2012, Pandelela Rinong bersama skuad renang dan terjun negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sini semalam.

Pandelela yang meraih gangsa dalam acara terjun 10 meter platform wanita disambut dengan meriah di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA oleh peminat sukan negara dan pelajar-pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Ahmad Shabery turut memaklumkan Pandelela akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada 17 Ogos ini bagi meraikan kejayaan atlet kelahiran Sarawak itu.

Ahmad Shabery tetap menyifatkan satu perak dan satu gangsa pada Sukan Olimpik London sebagai sesuatu yang istimewa, meskipun ia sekadar menyamai pencapaian negara pada Sukan Olimpik 1996.
Menurutnya, ini kerana pada Olimpik kali ini atlet negara memberikan saingan hingga layak ke acara akhir dalam lapan sukan yang berbeza.

Katanya, pencapaian itu memberi petanda positif bahawa kilauan emas semakin hampir untuk dicapai pada Sukan Olimpik berikutnya.

"Ini adalah satu pencapaian luar biasa. Jika prestasi ini diteruskan sudah tentu pada masa akan datang sasaran untuk mendapatkan pingat berada dalam jangkauan kita.

"Pencapaian yang diraih pada kali ini adalah amat dibanggakan dan selepas ini kami akan adakan perbincangan secepat mungkin dalam persediaan menghadapi Olimpik di Rio de Janeiro di Brazil 2016," katanya.



UTUSAN

No comments: