Friday, March 9, 2012

Trio pecut sandaran Malaysia


DARI kiri, Azizulhasni, Josiah dan Fatehah akan mengetuai cabaran Malaysia pada UTCWC 2012 di Melbourne bulan depan.

TIGA pelumba sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Fatehah Mustapa akan mengetuai cabaran Malaysia pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI (UTCWC) 2012 bermula 4 hingga 8 April depan di Melbourne, Australia.

Pengurus skuad trek negara, Datuk Naim Mohamad menjelaskan, tujuh kuota pelumba lelaki dan tiga wanita telah diberi- kan kepada Malaysia bagi UTC- WC 2012.

Jelas Naim, kem negara juga akan turun berentap dalam lima acara bagi kategori lelaki dan tiga acara wanita.
"Lima acara bagi kategori lelaki ialah dua slot untuk keirin, pecut individu (2), 1 kilometer (km) ujian masa (1), scratch (1) dan pecut berpasukan," kata Naim semalam.

"Tiga acara wanita pula ialah keirin (1), 500 meter ujian masa (1) dan pecut individu (1).
"Bagaimanapun, senarai akhir pelumba yang akan menyertai kejohanan tersebut masih belum diputuskan dan akan diumumkan oleh ketua jurulatih, John Beasley pada 25 Mac ini," kata- nya.

Menurut beliau, Azizulhasni, Josiah dan Fatehah sudah pasti akan diturunkan dalam acara kegemaran masing-masing, namun ia bergantung kepada keadaan dan jadual pertandingan di Melbourne nanti.
"Azizulhasni dan Josiah sudah pasti akan turun dalam acara keirin dan pecut individu kerana kita dapat dua slot dalam acara itu.

"Kemudian dalam acara pecut berpasukan pula, kita akan lihat dulu keadaan sama perlu atau tidak kita turunkan gandingan Azizulhasni, Josiah dan Edrus (Yunos).

"Jika tidak perlu, kita mungkin akan senaraikan (Mohd.) Fattah Amri Zaid,Edrus dan Arfy (Qhairant Amran).
"Bagi wanita pula, setakat ini Fatehah adalah pelumba terbaik dalam ketiga-tiga acara tersebut, namun kita juga fikir untuk membawa Ummi Hamimah (Mohamad)," jelas Naim lagi.

Dalam acara 1km ujian masa lelaki, pemenang pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012, Edrus akan turun menggantikan tempat Rizal Tisin yang pernah memenangi pingat gangsa pada edisi 2009 di Poland.
Josiah, Edrus dan Fatehah masing-masing layak secara automatik dalam acara keirin lelaki, 1km ujian masa dan keirin wanita sebagai juara Asia selepas memenangi pingat emas dalam acara tersebut.

Pelumba lebuh raya negara yang juga jaguh pecut, Mohd. Harrif Salleh pula mungkin akan disenaraikan bagi acara scratch.



KOSMO

No comments: