Friday, December 2, 2011

Tiket Olimpik dalam minda Traisy



Aksi Traisy Vivien (kanan) dan gandingannya Leong Mun Yee dalam acara terjun serentak 10m platform pada Sukan SEA XXVI di Palembang, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Penerjun muda kebangsaan, Traisy Vivien Tukiet sedang mempelajari gaya terjunan baru dalam usaha memantapkan dirinya menjelang saingan Piala Dunia Terjun FINA di London, Februari depan.

Piala Dunia akan menjadi medan kelayakkan terakhir untuk Olimpik 2012 dan Traisy, 17, tidak sanggup melepaskan peluang keemasan untuk meraih tiket beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.
Pada Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai, Julai lalu, agak mendukacitakan buat Traisy apabila menamatkan saingan acara 10m platform individu wanita di ranking ke-14, menyaksikan dia terlepas tiket awal Olimpik yang disediakan hanya untuk 12 penerjun terbaik.

Ratu terjun kita, Pandelela Rinong mengesahkan slot kelayakkan ketika itu selepas meraih tempat kelima acara yang sama.
"Memang agak kecewa pada masa itu saya gagal mengiringi Lela (Pandelela), hanya dua ranking memisahkan saya dengan tiket Olimpik.

"Namun saya sedar catatan markah terjunan masih lagi kurang memberangsangkan. Jadi untuk mencerahkan peluang saya pada Piala Dunia nanti, saya sedang gigih berlatih gaya armstand.
"Agak sukar, tetapi saya harap dapat menguasainya secepat mungkin. Sekiranya sempurna kelak, saya yakin dapat memungut mata tinggi," katanya.

Sebenarnya Traisy sedar peluang dirinya layak beraksi di Pusat Akuatik London tahun depan adalah sangat cerah.
Dengan 12 penerjun terbaik dunia telah pun diketahui, 18 lagi tiket akan ditawarkan untuk setiap acara individu pada Piala Dunia nanti.

Mengambil kira prestasi Traisy sepanjang tahun ini yang termasuk merangkul pingat emas Sukan SEA dalam acara 10m platform seirama wanita bersama Leong Mun Yee baru-baru ini, dia sememangnya mempunyai peluang terbaik.

Pada Sukan Asia Guangzhou dan Sukan Komanwel New Delhi, Traisy layak ke final dan menamatkan saingan di tempat kesembilan untuk kedua-dua temasya tersebut.
Gadis kelahiran Sarawak itu juga mencatat dua keputusan memberangsangkan pada saingan GP dunia iaitu tempat ke-12 di GP Montreal, Kanada dan kelapan di GP Rostock, Jerman, membolehkan dia menghuni ranking ke-16 dunia.

Traisy juga sedar dia yang kini bergelar penerjun platform wanita nombor dua negara selepas Pandelela, mungkin diberi tanggungjawab baru menggantikan Mun Yee yang dijangka bersara tidak lama lagi, untuk digandingkan dengan Pandelela dalam acara seirama.


UTUSAN MLAYSIA

No comments: