![]() |
Gandingan Wong Pei Tty (depan) dan Chin Eei Hui tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Macau, semalam. |
Malah, beberapa pemain yang diharap menyerlah pada kejohanan Grand Prix emas itu, termasuk beregu muda, Lim Khim Wah-Goh V Shem, Mak Hee Chun-Ong Soon Hock dan juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli, semuanya turut menemui kegagalan.
Tanpa jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, yang menarik diri akibat keletihan kelmarin, Muhammad Hafiz Hashim berjaya meneruskan kemaraan Malaysia dalam perseorangan lelaki dengan menyingkirkan pemain kebangsaan, Chan Kwong Beng 21-8, 21-18. Hafiz kini akan berjumpa pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto yang mara selepas menumpaskan seorang lagi pemain negara, Pei Wee Chung 21-3, 21-9.
Sementara itu, Pei Tty-Eei Hui yang sanggup mengorbankan Sukan SEA XXVI untuk memberi tumpuan kepada kelayakan Olimpik bagaimanapun mendapati pengorbanan mereka tidak cukup berbaloi apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Taiwan, Chou Chia Chi-Yang Chia Chen 21-19, 19-21, 19-21.
Turut mengecewakan adalah kekalahan Khim Wah-V Shem kepada Alvent Yulianto-Hendra Gunawan. Biarpun pasangan Indonesia adalah pilihan kelima, namun Khim Wah-V Shem menjadi harapan untuk melakar kejutan selepas persembahan cemerlang yang ditunjukkan pada Sukan SEA lalu. Pasangan muda negara itu tewas 19-21, 21-12, 12-21.
Hee Chun-Soon Hock pula tunduk 20-22, 13-21 kepada Kim Ki Jung-Shin Baek Choel dari Korea, manakala pasangan bebas Gan Teik Chai-Tan Bin Shen yang tewas 16-21, 16-21 kepada Yohanes Rendy Sugiarto-Afiat Yuris Wirawan dari Indonesia.
Satu lagi saingan beregu lelaki menyaksikan pasangan muda, Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Vountus Indra Mawan menumpaskan beregu veteran senegara, Chan Chong Ming-Lee Wan Wah 21-17, 21-23, 21-19.
Dalam aksi perseorangan lelaki, Zulfadli, 18, memberi tentangan kepada pemain yang jauh lebih berpengalaman, Simon Santoso dari Indonesia sebelum tunduk 15-21, 18-21 di tangan pemenang pingat emas Sukan SEA itu.
UTUSAN MALAYISA
No comments:
Post a Comment