
Muhammad Adiq Husainie Othman (kiri) dan Anuar Manan antara calon yang bersaing untuk mengisi dua slot pelumba lebuh raya ke Sukan Olimpik tahun depan.
KUALA LUMPUR - Kegagalan pelumba lebuh raya kebangsaan pada Sukan SEA XXVI baru-baru ini tidak mengugat keyakinan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), sebaliknya percaya boleh kembali meletakkan skuad berbasikal negara pada landasan tepat menjelang Sukan Olimpik 2012.
PKBM juga yakin untuk melahir dua pelumba berbisa dalam masa singkat bagi dipertaruhkan di kota London nanti, walaupun prestasi pelumba negara dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Jakarta membayangkan Malaysia sukar menampilkan nama besar pada temasya sukan terbesar di dunia itu nanti.
Presiden PKBM, Abu Samah Wahab menjelaskan buat permulaan, pihaknya akan menjadikan Kejohanan Grand Prix Kebangsaan Sirkit Negeri Sembilan yang diadakan esok, sebagai medan untuk kembali mengenal pasti calon pelumba berkaliber bagi menyertai acara lebuh raya pada hari pembukaan Sukan Olimpik 2012.
Sambil menegaskan bahawa pasukan lebuh raya masih perlu dihormati kerana layak ke Sukan Olimpik 2012 secara merit, Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) itu menegaskan keupayaan layak ke London menjadi bukti terpenting betapa skuad lebuh raya masih mempunyai masa depan yang cerah.
"Kita layak secara merit untuk hantar dua pelumba sertai acara lebuh raya di London. Malaysia adalah antara empat negara Asia iaitu Jepun, Kazakhstan dan Uzbekistan yang layak secara merit ke Olimpik 2012.
"Ia bukti pasukan lebuh raya kita masih mempunyai masa depan cerah. Bukan mudah untuk layak ke Sukan Olimpik 2012. Perlu juga diingatkan bahawa negara kuasa besar Asia seperti Korea Selatan juga tidak layak ke Sukan Olimpik 2012.
"Justeru, kita perlu lupakan kegagalan pelumba negara di Sukan SEA. Saya percaya ada hikmah di sebalik kegagalan tersebut.
"Dahulu kita selalu menang pingat emas. Sekarang kita sudah tiga kali gagal raih pingat emas Sukan SEA.
"Ini satu cabaran besar untuk PKBM. Kami akan terus berusaha untuk perbaiki kelemahan ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Abu Samah juga mengarah dua jurulatih kebangsaan, Graham Seers dan Syed Mohamad Hussain Syed Mazlan segera mengenal pasti dua calon pelumba yang bakal dihantar berlumba di London nanti.
"Kita masih mempunyai waktu untuk kenal pasti siapakah yang patut dihantar ke London. Mereka patut mula memantau prestasi Mohamad Adiq Hussainie (Othman), Amir Rusli (Mustafa; Ng Yong Li atau Anuar (Manan)," katanya.
UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment