
FATEHAH Mustapa mahu meneruskan kecemerlangan Sukan SEA XXVI dengan meraih tiga pingat emas pada Siri Piala Dunia Klasik di Cali, Colombia hari ini.
KUALA LUMPUR – Pelumba basikal trek negara, Fatehah Mustapa berharap dapat mengekalkan rentak kecemerlangannya pada Sukan SEA XXVI menjelang saingan Siri Piala Dunia Klasik di Cali, Colombia hari ini.
Pemenang tiga pingat emas pada temasya dwitahunan itu berkata, walaupun penat selepas menyertai Sukan SEA, dia tetap bersemangat untuk melakukan yang terbaik dalam aksi pertamanya pada Siri Piala Dunia Klasik bagi musim 2011/12.
“Saya mungkin akan mengambil bahagian dalam dua atau tiga acara, antaranya pecut, keirin dan scratch. Tumpuan khusus diberikan kepada acara keirin untuk sekurang-kurangnya mara ke akhir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Di Jakarta bulan lepas, Fatehah cemerlang meraih emas dalam acara 500m ujian masa individu, pecut dan pecut berpasukan.
Sebaik sahaja menamatkan saingan Sukan SEA, dia terus pulang ke Melbourne untuk persiapan ke Siri Piala Dunia Klasik.
“Saya bukan penat kerana baru sahaja menamatkan saingan Sukan SEA, tetapi terpaksa menempuhi perjalanan yang jauh untuk tiba di Cali. Sebelum ke sini kami berlepas dari Melbourne menuju ke Los Angeles seterusnya ke Miami dan tiba di Cali.
“Saya berharap dapat mengekalkan momentum Sukan SEA walaupun penat ke sana ke mari merentasi beberapa benua. Saya perlu memantapkan diri dengan menyesuaikan keadaan trek dan mempersiapkan diri di gimnasium,” katanya.
Selain Fatehah dua lagi pelumba negara yang akan mengambil bahagian pada Siri Piala Dunia Klasik kedua selepas Astana, Kazakhstan bulan lepas iaitu Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng. Azizulhasni, mewakili Yayasan Sime Darby (YSD) manakala Josiah mewakili Malaysia.
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment