Wednesday, August 17, 2011

Mengintai emas di bumi London


IMBAS KEMBALI... Skuad hoki negara terlepas peluang menyambar tiket automatik ke London selepas hanya mampu meraih pingat perak pada Sukan Asia di Guangzhou, China tahun lalu.


TEMASYA Sukan Olimpik 2012 kini hanya tinggal kira-kira setahun lagi sebelum tirai- nya disingkap secara rasmi pada 27 Julai hingga 12 Ogos tahun depan.
Misi memburu pingat emas pertama pada temasya sukan terbesar di dunia itu sekali lagi menjadi keuta- maan bagi kontinjen Malaysia selepas gagal di bumi Beijing tiga tahun lalu.

Setelah berjuta-juta ringgit dihabiskan oleh kerajaan untuk melihat arena sukan di negara kita setanding dengan gergasi-gergasi dunia yang lain, Malaysia secara rasionalnya dilihat sudah mampu menggenggam pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Mungkin benar, tugas menghadiahkan kilauan emas pertama itu amat sukar, apatah lagi atlet-atlet negara terpaksa bersaing dengan bintang-bintang terbaik dunia dari negara lain, namun hakikatnya semua itu tidak mustahil untuk dilakukan.

Pelaburan besar kerajaan dalam pemba- ngunan sukan negara ketika ini sepatutnya sudah memberi pulangan berbaloi yang boleh menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Dengan pelbagai program latihan yang direncanakan dan fasiliti sukan yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi badan pelaksananya – Majlis Sukan Negara (MSN) – ditambah pula dengan kepakaran bidang sains dan peruba- tan sukan yang dimiliki Institut Sukan Negara (ISN), sudah tiba masanya Malaysia menamatkan kemarau emas di London tahun depan.

Kemunculan beberapa atlet Malaysia bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Mohd. Azizulhasni Awang (trek berbasikal) serta peningkatan yang memberangsangkan daripada sukan-sukan pilihan seperti memanah, terjun, hoki serta bola sepak – sudah cukup membuktikan bahawa Malaysia sebenarnya memiliki potensi untuk menggegar dunia.

Cuma hanya keazaman dan kekuatan mental (psikologi) sahaja yang menjadi halangannya selain faktor tuah juga mungkin masih lagi belum memihak kepada kontinjen Malaysia.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong (gambar kecil) mengakui bahawa misi untuk merealisasikan pingat emas pertama Malay- sia pada Sukan Olimpik London 2012 ini bergantung kepada ketahanan mental serta kesungguhan atlet itu sendiri apabila turun beraksi di atas gelanggang.

“Saya akui bahawa sebenarnya mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi emas pertama di Sukan Olimpik London 2012,” kata Zolkples ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
“Harapan itu sudah pasti digalas oleh Chong Wei dan Azizulhasni tetapi saya rasa Chong Wei adalah pertaruhan terbaik kita berdasarkan prestasinya ketika ini.

“Namun saya dapati, masalah utama yang kerap dialami oleh atlet kita apabila bertan- ding di temasya atau kejohanan besar seperti Olimpik ialah ketahanan mental mereka yang tersekat.
“Ini termasuk juga Chong Wei, dia memang boleh mengalahkan sesiapa sahaja tetapi apabila berdepan musuh utamanya iaitu Lin Dan, dia seperti terkena badi atau kekuatan mentalnya seperti tersekat.

“Jadi inilah kelemahan dari segi psikologi yang perlu diatasi. Dari segi kesungguhan dan keazaman atlet kita, ia tidak perlu di- ragui atau dipersoalkan lagi kerana saya kenal mereka.

“Mereka memang mempunyai keinginan yang kuat untuk menang dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” jelas beliau lagi.

Setelah gagal di Beijing tiga tahun lalu, Chong Wei masih menjadi taruhan terbaik negara di London nanti meskipun pemain No. 1 dunia itu tewas kepada Lin Dan pada final Kejohanan Dunia 2011 di London, Ahad lalu.

Pemilik Jersi Putih acara keirin Piala Dunia Klasik, Azizulhasni turut berpotensi melakukan kejutan meskipun berdepan jaguh- jaguh Olimpik seperti Chris Hoy dari Britain dan Gregory Bauge (Peran- cis).
Dia juga baru sahaja pulih daripada kece- deraan betisnya yang tertusuk serpihan trek ketika beraksi di Manchester, Februari lepas.

Selain dua jaguh berkelas dunia itu, harapan juga diletakkan ke atas beberapa acara lain yang turut termasuk dalam program Road to London (RTL 2012) meskipun peluang untuk memenangi emas agak tipis.
Setakat ini, atlet dalam program RTL 2012 yang telah berjaya mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik 2012 ialah trio memanah yang dibarisi Cheng Chu Sian, Haziq Kama- ruddin dan Khairul Anuar Mohamad serta dua penerjun, Pandelela Rinong serta Bryan Nickson Lomas.

Trio memanah negara layak selepas menduduki tempat kesembilan acara berpasu- kan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali, manakala Pandelela beraksi cemerlang dalam acara 10 meter platform dan Bryan (3 meter papan anjal pada Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai, China baru-baru ini.
“Skuad memanah masih ada beberapa lagi kejohanan penting dan pada bulan September ini mereka akan beraksi pada Pusingan keempat Piala Dunia di Shanghai.

“Bagi bulan Oktober pula, mereka ada temasya ujian Olimpik di London sebelum beraksi pada Sukan SEA di Indonesia, November depan.

“Pada masa yang sama, pasukan memanah wanita juga sedang cuba untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, walaupun bukan dalam program RTL 2012, namun kami tetap hantar mereka,” jelas Zolkples.
Bagi acara terjun, walaupun Pandelela dan Bryan telah mengesahkan tiket ke London, namun kontinjen Malaysia masih cuba untuk memastikan dua lagi atlet dalam program RTL 2012 iaitu Leong Mun Yee dan Yeoh Ken Nee turut beraksi pada temasya Olimpik kali ini.

“Mereka masih ada beberapa peluang dalam pusingan kelayakan. Pada September nanti, kita akan menganjurkan Kejo- hanan Akuatik Piala Asia di Kuala Lumpur.
“Jadi harapnya mereka berdua boleh menggunakan kesempatan bermain di tempat sendiri ini untuk mengesahkan tempat ke Olimpik.

“Selain itu kita juga mengharapkan keempat-empat penerjun ini layak dalam acara terjun serentak kerana mereka juga bagus dalam acara itu.

“Namun saya rasa peluang mereka untuk menang pingat agak sukar kerana setiap negara boleh menghantar dua atlet atau pasangan dalam satu acara. Oleh itu China pasti mendominasi acara ini sekali lagi,” ujarnya lagi.
Dalam acara badminton pula, selain Chong Wei dan beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Zolkples menjelaskan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga telah menambah satu lagi sa- saran pingat iaitu gangsa ke atas pasangan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying bagi beregu campuran.

Peningkatan mendadak yang ditunjukkan pasangan muda itu sejak kebelakangan ini telah meningkatkan keyakinan bahawa acara tersebut mampu menyumbang pingat, dengan syarat ia dimantapkan lagi dalam masa kurang 12 bulan menjelang temasya di London.

“Dalam acara badminton, kita masih mempertaruhkan Chong Wei, Kien Keat/Boon Heong dan beregu wanita Wong Pei Tty/Chin Eei Hui, namun kita menambah satu lagi sasaran iaitu gandingan muda beregu campuran, Peng Soon dan Liu Ying.

“Tindakan menyenaraikan Peng Soon/Liu Ying dalam program RTL 2012 juga adalah keputusan yang tepat kerana pasangan itu mula menunjukkan kemajuan besar dengan menjadi beregu campuran Malaysia pertama merangkul gelaran Terbuka iaitu pada Terbuka Thailand 2009.

“Mereka turut cemerlang apabila menjuarai Kejohanan Asia 2010 dan muncul finalis Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia yang menawarkan mata kelaya- kan Sukan Olimpik

“Mereka menunjukkan peningkatan besar dalam usia yang masih muda dan kalau mereka terus berusaha keras dalam tempoh 12 bulan menjelang temasya London, saya percaya agak realistik untuk kita meletakkan sasaran pingat kepada mereka,” jelasnya.

Dalam acara trek berbasikal pula, Zolkples memberitahu, peningkatan pelumba-pelumba endurance seperti Mohd. Adiq Hussainie Othman dan Mohd. Harrif Salleh serta pelumba wanita, Fatehah Mustapa juga berpeluang untuk mengiringi kayuhan Azizul- hasni ke London.

“Kalau dulu kita hanya ada Azizulhasni sahaja dalam acara pecut dan keirin, namun ketika ini peningkatan prestasi Adiq dan Harriff dalam trek endurance turut mencerahkan peluang mereka mengutip mata.
“Begitu juga dengan prestasi pelumba wanita kita, Fatehah Mustapa. Malah ketua jurulatih basikal negara, John Beasley turut meletakkan sasaran pingat ke atasnya di London, namun semuanya bergantung kepada percaturannya nanti,” tambah Zol- kples.

Selain itu, ada dua lagi sukan yang bakal menghadapi pusingan kelayakan Olimpik 2012 iaitu skuad bola sepak bimbingan Ong Kim Swee dan juga skuad hoki kendalian Tai Beng Hai.
“Kali terakhir kita (skuad bola sepak) layak ke Olimpik ialah 31 tahun lalu pada 1980 di Munich, Jerman. Namun kali ini skuad muda kita berjaya mara ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia.
“Jadi semua ini bergantung kepada keputusan dan prestasi skuad Ong Kim Swee itu yang ketika ini sedang mengadakan lat ihan dan perlawanan ujian di Slovakia selama sebulan.

“Buat masa ini saya lihat prestasi mereka agak baik apabila menang tiga kali serta kalah sekali.
“Skuad hoki pula akan menjalani pering- kat kelayakan Olimpik pada awal tahun depan dan semua ini masih belum ditentu- kan lagi dalam kumpulan mana mereka akan diundi.
“Namun mereka baru saja selesai menja- lani lima perlawanan persahabatan dengan Jepun dan akan menyertai Trofi Juara- Juara I di Ordos, China pada September depan,” jelasnya.

Skuad hoki negara terpaksa mengharungi pusingan kelayakan apabila terlepas slot automatik ke London apabila tumpas 0-2 kepada Pakistan pada final temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Ketika kontinjen Malaysia mula memberi fokus memburu emas sulung di pentas Olimpik, antara masalah yang bakal dihadapi atlet Malaysia di London nanti ialah temasya itu berlangsung pada bulan Ramadan.

Justeru, Zolkples menasihati agar setiap atlet negara yang sudah layak ke London membiasakan diri terlebih dulu dengan latihan dan ujian dalam keadaan berpuasa tahun ini sebagai persiapan bagi temasya Olimpik tahun depan.


 Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my
KOSMO

No comments: