![]() |
| Koo Kien Keat (kanan) dan Tan Boon Heong masih menjadi harapan BAM untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik 2012 di London. |
KUALA LUMPUR - Ketika ramai yang sudah berputus asa dengan potensi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik 2012, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yakin, beregu utama negara itu masih relevan untuk diletak sasaran emas, malah gandingan mereka tidak akan dipecahkan.
Desas desus mulai timbul bahawa perpecahan beregu dijangka berlaku ekoran prestasi mengecewakan pasangan negara pada Kejohanan Dunia di London, minggu lalu, yang mana Kien Keat-Boon Heong tersingkir di suku akhir, Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How kandas di pusingan kedua manakala Chan Peng Soon-Lim Khim Wah hanya sempat beraksi di pusingan pertama.
Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai mengakui, beregu lelaki negara gagal mencapai sasaran badan induk badminton itu dan ia senario membimbangkan dalam menghadapi temasya London tahun depan, namun beliau percaya tindakan drastik seperti memecah gandingan bukan penyelesaian terbaik masalah.
"Saya akui, Kien Keat dan Boon Heong memang mempunyai masalah ketika ini, mereka kurang pantas dan tidak bertenaga jika dibandingkan pasangan utama China atau Korea tetapi itu tidak bermakna mereka kena dipecahkan untuk mencari tenaga baru, ini idea yang tidak logik.
"Sekarang kita tidak patut bercakap tentang memecahkan pasangan kerana tempoh kelayakan sedang berlangsung dan Olimpik sudah semakin hampir, kita kena berbincang, mencari jalan serta bersatu untuk cuba memperbaiki segala kelemahan yang ada, saya belum melihat jalan buntu.
"Pada saya, Kien Keat dan Boon Heong masih relevan untuk diberi sasaran pingat emas. Mereka masih antara pasangan terbaik dunia dan boleh menjadi lebih baik lagi kalau kita dapat segera mengatasi masalah,'' kata Chin Chai.
Kien Keat-Boon Heong jelas berada selangkah di belakang pasangan Korea Selatan, Ko Sung-hyun-Yoo Yeon-seong ketika tumpas 17-21, 13-21 di suku akhir, namun Chin Chai percaya, jurang antara dua beregu itu sebenarnya tidak terlalu kritikal.
Zakry-Thien How pula tumpas 24-26, 14-21 kepada pasangan Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu di pusingan kedua, persembahan yang disifatkan Chin Chai 'masih mempunyai harapan' dan satu peningkatan baik.
"Saya, Rexy (Mainaky) dan Datuk James (Selvaraj) telah mengadakan perbincangan mengenai prestasi pasangan negara ketika berada di London, namun butiran perbincangan itu hanya akan kami beritahu dalam laporan penuh kepada BAM nanti.
"Bagaimanapun saya beri jaminan, kami tidak gembira dengan perkembangan di London, oleh itu tindakan serius akan diambil untuk memperbaiki keadaan. Kami sedar, sesuatu harus dibuat bermula dari sekarang,'' kata Chin Chai.
Perubahan format kelayakan Sukan Olimpik, yang menyaksikan hanya 16 pasangan terbaik mendapat jaminan tiket ke temasya 27 Julai hingga 12 Ogos 2012 itu menyaksikan persaingan merebut tempat sangat kompetitif.
Selain pasangan No. 4 dunia, Kien Keat-Boon Heong, ada tiga lagi beregu negara yang berada dalam kedudukan untuk menempatkan diri iaitu Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock (18), Gan Teik Chai-Tan Bin Shen (24) dan Mohd. Zakry Abdul Latif-Thien How (25).
UTUSAN MALAYSIA

No comments:
Post a Comment