Monday, July 14, 2008

Pingat untuk pelengkap karier, hadiah perkahwinan?

KUALA LUMPUR - Selepas mengharungi dua Sukan Olimpik tanpa sebarang pingat, beregu veteran negara, Choong Tan Fook- Lee Wan Wah diberi peluang terakhir untuk memburu pingat di temasya sukan terbesar dunia itu, bulan depan.

Tidak semua orang bertuah dan mendapat peluang seperti Tan Fook dan Wan Wah, apatah lagi pada ketika mereka berdepan saingan hebat daripada beregu muda yang semakin meningkat seperti Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif.

Faktor diberi kepercayaan buat kali ketiga sahaja cukup mengujakan pasangan ini untuk menebus dua kegagalan lalu kerana satu lagi kegagalan akan menutup karier mereka tanpa pingat yang paling diimpikan oleh setiap ahli sukan.

Bagi Tan Fook, 32, pingat Olimpik bakal menjadi hadiah paling istimewa sebelum dijangka mengikat hubungan dengan beregu nombor satu dunia, Zhang Jiewen dari China selepas berakhir temasya Beijing.

Walaupun menolak faktor Jiewen sebagai penyuntik semangat tambahan, namun Tan Fook mengakui, hakikat beraksi dalam Olimpik terakhir mencetuskan perasaan yang istimewa.

"Kami berdepan cabaran yang hebat bukan saja dalam proses kelayakan ke Olimpik, malah dalam proses pemilihan pemain ke Olimpik, tetapi pada akhirnya kami berjaya juga memijakkan kaki ke Sukan Olimpik buat kali ketiga.

"Dapat bermain di Olimpik sekali lagi adalah sesuatu yang mengujakan, apatah lagi beraksi buat kali terakhir. Sudah tentu kami berharap penamat kali ini jauh lebih baik berbanding dua penampilan lalu tetapi ia tidak mudah,'' akui Tan Fook.

Persiapan Olimpik beregu senior ini juga sering teruji, meskipun kecederaan Wan Wah sudah beransur pulih, namun dia mencetus kebimbangan terbaru apabila terlepas sesi latihan baru-baru ini kerana masalah kesihatan.

Walaupun Wan Wah menegaskan ia cuma masalah kesihatan ringan, namun keadaan itu tetap mencetus keraguan sejauh mana stamina kedua-dua pasangan ini untuk berdepan cabaran beregu handalan dunia di Beijing, 8-24 Ogos.

"Saya OK, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Masalah kesihatan itu perkara biasa, saya cuma perlu sedikit berehat.

"Saya kurang sihat sebelum ini tetapi tidaklah sampai menjejaskan stamina atau persiapan ke Olimpik, semuanya di landasan terbaik,'' kata Wan Wah.

Dalam penampilan pertama Sukan Olimpik di Sydney 2000, Tan Fook-Wan Wah tersingkir di separuh akhir kepada pasangan Korea Selatan, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung.

Mereka kemudian gagal dalam perebutan pingat gangsa selepas tumpas kepada satu lagi beregu Korea, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon.

Pada Temasya Athens 2004, Tan Fook- Wan Wah sekali lagi dikecewakan oleh Dong Soo-Yong Sung, kali ini di suku akhir.

Selepas dua kali kecundang di tangan beregu Korea, Tan Fook mengakui, pasangan negara itu akan terus menjadi pilihan di Beijing dengan juara Seluruh England, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dan Hwang Ji Man-Lee Jae Jin menjadi tumpuan.

Katanya, turut diberi perhatian adalah juara dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia, bekas beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China dan rakan senegara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Semua beregu negara akan dibawa oleh ketua jurulatih, Rexy Mainaky menjalani latihan di Genting Highlands pada 18 dan 19 Julai ini, sebelum memulakan latihan pusat pada 21 Julai dan berangkat ke Beijing pada 5 Ogos ini.

No comments: