Monday, July 14, 2008

Choong Hann akui kekurangan

PEMAIN badminton veteran negara, Wong Choong Hann mengakui dia masih belum berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Olimpik di Beijing bulan depan.

Menurut pemain berusia 31 tahun itu, dia masih perlu memperbaiki lagi tahap kecergasan dalam tempoh tiga minggu sebelum acara badminton membuka tirainya pada 9 hingga 17 Ogos depan.

"Saya akui, saya masih belum berada pada tahap 100 peratus kerana saya masih perlu memperbaiki lagi tahap kecergasan saya," kata Choong Hann kepada Kosmo! semalam.

"Sejak sebulan lalu, saya sering menitikberatkan tahap kecergasan dan memang usaha saya ini sudah menampakkan hasil.

"Begitupun, saya yakin dapat meningkatkan lagi kecergasan saya ke tahap maksimum dalam tempoh tiga minggu ini sebelum skuad negara berlepas ke Beijing.

"Saya mahu pastikan, saya sudah benar-benar bersedia apabila beraksi pada Sukan Olimpik."

Dalam pada itu, Choong Hann mengakui latihan di Bukit Jalil dan di Bukit Kiara sudah memadai sebagai persiapan untuk beraksi pada Sukan Olimpik di Beijing dan dia tidak perlu mengikut jejak seorang lagi pemain negara, Lee Chong Wei yang menjalani latihan selama dua hari di Genting Highland minggu lepas.

"Setiap jurulatih dan pemain mempunyai strategi mereka sendiri," kata Choong Hann.

"Memang tidak salah untuk Chong Wei menjalani latihan di Genting Highlands tetapi bagi saya, latihan di Bukit Jalil sudah cukup memadai.

"Di sini (Bukit Jalil) saya juga dapat apa yang saya perlukan termasuklah menjalani latihan, mendapatkan rawatan dan urutan selain menggunakan segala kemudahan di gimnasium."

Seperti semua pemain negara yang turut beraksi pada kejohanan paling berprestij di dunia itu, Choong Hann juga mengakui dia tidak kesah tentang undian yang akan dilakukan pada 26 Julai ini.

Menurutnya, sebagai pemain bukan pilihan, dia harus bersedia untuk menentang sesiapa sahaja.

"Saya bukannya pemain pilihan di Beijing nanti dan sudah tentu saya tidak mempunyai pilihan dalam undian yang bakal diadakan," tambah Choong Hann.

"Saya seharusnya bersedia untuk menentang sesiapa sahaja dan apa yang lebih penting, saya berjanji akan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Saya ingin menghadiahkan pingat buat negara dan juga kepada keluarga yang banyak berkorban selama ini," tambah Choong Hann yang bakal menyambut kelahiran anak keduanya September ini.

Selain Choong Hann, acara perseorangan lelaki juga akan turut digalas oleh pemain No. 2 dunia, Chong Wei serta ratu badminton negara, Wong Mew Choo.

KOSMO

No comments: