Tuesday, July 22, 2008

Elak Kecederaan, Jaga Kesihatan Dan Jaga Pemakanan, Nasihat Sieh Kok Chi

PETALING JAYA, 21 Julai (Bernama) -- "Elak kecederaan jaga kesihatan dan jaga pemakanan," itu kata-kata nasihat Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia Datuk Sieh Kok Chi kepada 33 atlet negara yang akan beraksi pada temasya Sukan Olimpik Beijing bulan depan.


Beliau berkata dengan tempoh yang tinggal 18 hari sahaja lagi, ia merupakan tempoh kritikal kepada setiap atlet yang di bahu mereka terletak harapan tinggi untuk memenangi pingat buat negara.

Kontinjen Malaysia akan beraksi dalam 10 acara sukan pada temasya Olimpik dari 8 hingga 24 Ogos ini, iaitu acara memanah, terjun, renang, olahraga, badminton, berbasikal, pelayaran, menembak, taekwondo dan angkat berat.

Menurutnya adalah satu kerugian besar kepada atlet dan negara sekiranya mereka mengalami kecederaan beberapa hari sebelum temasya Sukan Olimpik bermula, setelah menjalani latihan intensif sejak dua atau tiga tahun lepas.

"Impian setiap atlet adalah beraksi di Sukan Olimpik yang dianggap pencapaian tertinggi dalam arena sukan. Jadi elak diri daripada sebarang kecederaan, jaga kesihatan dan pemakanan serta jangan memakan ubat-ubatan yang tidak dibenarkan dalam tempoh ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran promosi "McDonald's Gold Medal Meal and Limited Edition Beijing Coca-Cola Contour Glasses" di Bandar Utama, hari ini.

Coca-Cola serta McDonald merupakan dua penaja utama Sukan Olimpik Beijing, dan promosi itu akan bermula dari Julai 24 hingga Ogos 31 di semua restoran McDonald di seluruh negara.

Sieh berkata MOM mengenalpasti empat sukan yang berpotensi membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik Beijing iaitu memanah, taekwondo, badminton dan lumba basikal.

Atlet-atlet negara yang akan beraksi dalam empat sukan itu adalah Cheng Chu Sian, Muhammad Marbawi Sulaiman dan Wan Mohd Khalmizan Wan Abdul Aziz dalam sukan memanah; sukan taekwondo Elaine Teo Shueh Fhern (bawah 57kg) dan Che Chew Chan (bawah 67kg).

Sukan badminton pula diwakili oleh Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann (lelaki perseorangan); Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook(lelaki beregu), Wong Mew Choo (wanita perseorangan), Wong Pei Tty dan Chin Ee Hui (wanita beregu) manakala sukan lumba basikal pula digalas oleh Azizul Hasni Awang, Josiah Ng, Mohd Edrus Yunus dan Rizal Tisin.

-- BERNAMA

No comments: