
INSENTIF kemenangan RM1 juta untuk pemenang pingat emas Sukan Olimpik yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam dilihat sebagai satu khabar gembira buat atlet-atlet negara.
Bagi pemain badminton No. 1 negara, Lee Chong Wei (gambar) serta ratu badminton negara, Wong Mew Choo, insentif tersebut merupakan satu keputusan yang paling tepat sebagai menghargai usaha dan kerja keras atlet yang bertanding ke temasya paling berprestij di dunia itu.
Menurut Chong Wei yang menjadi sandaran utama negara untuk meraih emas di Beijing Ogos ini, insentif lumayan tersebut sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat setiap atlet untuk berusaha meraih pingat emas.
"Saya rasa, kerajaan telah membuat keputusan yang tepat dengan memberikan wang insentif sebanyak RM1 juta kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas," kata Chong Wei kepada Kosmo! semalam.
"Lebih menarik, wang pencen bulanan juga meningkat dan ini sudah tentu dapat menjamin masa depan atlet selepa mereka bersara kelak.
"Tambahan pula, insentif dan wang pencen ini dapat meyakinkan ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka menceburi sukan."
Semalam, Najib mengumumkan insentif kemenangan sebanyak RM1 juta akan diberikan kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik berbanding insentif berjumlah RM160,000 sebelum ini.
Selain itu, sebanyak RM300,000 pula akan diberikan kepada pemenang pingat perak dan RM100,000 untuk gangsa.
Najib turut mengumumkan pencen bulanan yang diterima oleh pemenang pingat Sukan Olimpik akan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi pemenang pingat emas, RM3,000 bagi pingat perak (sebelum ini RM1,500) dan RM2,000 bagi gangsa (sebelum ini RM1,000).
Begitupun, Chong Wei yang baru sahaja menjuarai Terbuka Singapura dua minggu lepas mengakui dia tidak mahu terlalu memikirkan wang kemenangan sebaliknya ingin memberi tumpuan terhadap persediaan menjelang temasya Ogos ini.
"Walaupun gembira dengan pengumuman ini, saya tidak mahu terlalu memikirkannya kerana apa yang lebih penting, saya harus fokus terhadap persediaan ke Sukan Olimpik," kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
"Saya masih mempunyai masa sebulan lebih sahaja lagi untuk memantapkan lagi corak permainan saya."

Bagi Mew Choo pula, insentif terbaru yang diumumkan semalam sekurang-kurangnya akan membuatkan setiap atlet berusaha sedaya upaya untuk memburu pingat emas berbanding perak atau gangsa.
"Perbezaan yang jauh antara insentif bagi pemenang pingat emas serta pingat perak dan gangsa pasti akan mendorong atlet agar berusaha lebih keras untuk memburu emas," kata Mew Choo.
"Namun, ini merupakan Sukan Olimpik dan untuk mendapatkan pingat bukanlah sesuatu yang mudah meskipun sekadar pingat gangsa.
"Namun bagi saya, tidak kira berapa sekalipun wang insentif yang ditawarkan, saya memang mempunyai impian untuk meraih pingat di Beijing nanti."
No comments:
Post a Comment