![]() |
| ROSLINDA (kanan) dan Yufang akan menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik di Beijing. |
SEPANYOL menjadi pilihan jaguh lompat bergalah wanita negara, Roslinda Samsu untuk memperkemaskan gaya lompatannya.
Semalam, dia berlepas ke Sepanyol dan sepanjang berada di sana dia akan beraksi dalam lima kejohanan antarabangsa yang dilihat sebagai persiapan terbaik sebelum menjejak kaki ke Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China Ogos depan.
Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2007 itu, pemergiannya ke Sepanyol turut ditemani oleh jurulatihnya, Genady Potapovich.
"Saya akan menyertai lima kejohanan di sana sehingga 28 Julai ini dan ia boleh dikatakan sebagai medan pemanas badan sebelum aksi di Olimpik Beijing.
"Ini merupakan kali pertama saya tampil pada temasya berprestij itu dan seperti saya katakan sebelum ini saya berazam mahu memperbaharui rekod kebangsaan," ujar Roslinda semalam.
Untuk rekod, atlet kelahiran Kedah itu masih kekal sebagai pemegang rekod kebangsaan acara lompat bergalah wanita dengan catatan 4.40 meter.
"Untuk kejohanan di Sepanyol, sudah tentu saya akan melakukan yang terbaik dan sekiranya saya mampu memperbaiki catatan di sana, ia lebih memudahkan aksi saya di Beijing nanti kerana banyak saingan yang hebat bakal dihadapi.
"Bagi Sukan Olimpik Beijing, jika saya melepasi 4.45m, saya mungkin layak ke peringkat akhir," kata Roslinda.
Begitupun, Roslinda berkata, setelah tamat kejohanan di Sepanyol dia akan pulang ke tanah akhir bagi menyambung latihan.
"Selepas pulang dari Sepanyol, saya akan meneruskan latihan seperti biasa. Banyak yang perlu saya lakukan lagi dalam tempoh terdekat ini. Apa pun, saya akan pastikan saya berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi di Beijing nanti dan peluang beraksi pada beberapa kejohanan di Sepanyol akan dipergunakan sebaik mungkin untuk memantapkan lagi gaya lompatan," tambah Roslinda.
Ditanya apakah fokus utamanya bagi merealisasikan impiannya itu, Roslinda menjawab: "Setiap kali menyertai kejohanan, fokus saya ialah untuk memperbaiki rekod saya kerana dari situ saya boleh membuat penilaian tentang kemampuan diri saya.
Kosmo

No comments:
Post a Comment