BEIJING, 18 Jun (Bernama) -- Larian obor Olimpik di Tibet telah dipendekkan kepada hanya sehari di ibu negara Lhasa Sabtu ini berbanding hentian selama dua hari di wilayah itu seperti dijadualkan sebelum ini.
Perubahan itu dilakukan berikutan penjadualan semula kerana kejadian bencana gempa bumi di Sichuan pada 12 Mei, menurut laporan dalam laman web Sukan itu pada Rabu.
"Berikutan penjadualan semula terbaru itu, Larian Obor Olimpik Beijing di Wilayah Autonomi Tibet akan diadakan di Lhasa pada Sabtu, 21 Jun, 2008," menurutnya.
Kumpulan aktivis kemerdekaan proTibet membantah larian obor itu diadakan di kawasan Himalaya sehingga mencetuskan rusuhan berdarah pada Mei yang membawa kepada penahanan warga Tibet di kawasan yang berjiran dan menganggu kelancaran larian obor Olimpik di peringkat antarabangsa.
Larian obor itu pada awalnya dijadualkan pada 19 dan 20 Jun di Shannan Diqu dan Lhasa.
Larian obor itu kini berada di kawasan majoriti penduduk Islam, Xinjiang yang dikawal ketat ketika melalui ibu negeri Urumqi pada Selasa dan di bandaraya sempadan Kashgar pada Rabu.
China berkata puak pemisah di Xinjiang merancang untuk mensabotaj Sukan Olimpik dan juga telah menahan seorang remaja perempuan Xinjiang kerana cuba meletupkan sebuah pesawat penumpang yang sedang dalam perjalanan dari Urumqi ke Beijing pada awal Mac. Penganjur temasya sukan itu turut menukar tarikh larian obor Olimpik peringkat Sichuan kepada 3 Ogos daripada 5 Ogos sebelum majlis pembukaan sukan itu pada 8 Ogos.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment