JOHOR BAHARU, 18 Jun (Bernama) -- Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan memastikan perlawanan badminton pada sukan Olimpik Beijing tidak dicemari penghakiman berat dengan memilih pegawai berwibawa dari seluruh dunia bagi mengendalikan setiap perlawanan.
"Kami telah menyediakan satu senarai pegawai teknikal tempatan dan asing bagi mengendalikan Olimpik Beijing. Percayalah, saya yakin kemampuan mereka untuk melaksanakan tugas dengan baik, tidak boleh dipertikai," kata setiausaha agung BWF Stuart Borrie yang berpejabat di Kuala Lumpur.
Beliau berkata oleh kerana China begitu berbangga menjadi tuan rumah sukan itu, mereka sudah pasti tidak akan melakukan perkara bodoh bagi mencemarkan nama baik mereka.
Stuart, yang telah menghadiri satu mesyuarat BWF di Singapura ketika berlangsungnya Terbuka Sigapura Aviva, juga berkata kejohanan Siri Super itu mungkin membuka laluan kepada penganjuran Grand Final pada penghujung tahun ini, yang akan disertai lapan pemain teratas yang telah menyertai siri kejohanan 12 acara itu, yang mengandungi lima kategori - perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita dan beregu campuran.
"Perkara (Grand Final) itu sudah lama menjadi agenda kami. Kami ingin mengadakannya, tapi saya tak boleh nyatakan siapakah yang berminat untuk mengadakannya. Kami sedang berbincang dengan satu pihak yang beminat," katanya.
Stuart juga berkata sebuah kumpulan kerja telah ditubuhkan, yang turut dianggotai pengurus besar Persatuan Badminton Malaysia, Kenny Goh, di samping pegawai daripada Persatuan Badminton Inggeris, Persatuan Badminton Scotland dan Persatuan Badminton Singapura, bagi menentukan arah tuju kejohanan Siri Super pada masa akan datang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment