Friday, June 6, 2008

Amirul Layak Ke Olimpik Beijing

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Atlet angkat berat negara, Amirul Hamizam Ibrahim menepati ramalan apabila layak ke temasya Sukan Olimpik Beijing Ogos depan.

Berita gembira itu diperolehi setelah Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) memutuskan atlet yang berada pada kedudukan 15 teratas dalam kedudukan dunia layak menyertai Sukan Olimpik Beijing.

Setiausaha Kehormat Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Lt Komander Suhaimi Khamis berkata Amirul layak berdasarkan kedudukan individu setelah beliau berada di tempat keenam selepas Kejohanan Angkat Berat Asia di Jepun, April lepas.

Ketika beraksi pada kejohanan itu, Amirul menduduki tempat keempat bagi kategori 56 kg dengan angkatan seberat 121kg dalam acara snatch dan 141kg dalam acara Clean & Jerk.

"Berita mengenai keputusan IWF ini saya terima pagi tadi melalui e-mel. Saya amat berbangga dengan kejayaan ini dan harap Amirul dapat melakukan angkatan yang terbaik pada temasya Sukan Olimpik nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Suhaimi berkata dalam jangkamasa yang singkat ini Amirul perlu menjalani latihan intensif bagi melengkapkan diri sebelum beraksi pada Ogos nanti.

Namun demikian, tempat bagi atlet angkat berat ini menjalani persiapan belum diputuskan lagi kerana perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu.

Sementara itu, Amirul yang dihubungi Bernama berkata beliau amat gembira dan berasa bangga kerana dapat mewakili negara dalam temasya Sukan Olimpik Beijing.

"Selepas ini saya akan memberikan tumpuan penuh kepada latihan dan saya pecaya bahawa dengan bantuan daripada jurulatih saya mampu membuat persiapan dalam jangkamasa pendek," katanya.

Kali pertama negara menghantar atlet angkat berat ke Sukan Olimpik ialah di Athens pada 2004, namun Muhammad Faizal Baharom gagal memperoleh sebarang pingat.

-- BERNAMA

No comments: