Jurulatihnya, Antonio dilanda masalah kesihatan
KETIKA masa semakin suntuk buat atlit lompat tinggi negara, Lee Hup Wei layak ke Sukan Olimpik di Beijing Ogos ini, dia dipalit perkhabaran duka apabila kehilangan jurulatihnya, Antonio Yznaga Ibar.
Tidak sampai setahun membimbing Hup Wei, Antonio terpaksa melepaskan tanggungjawabnya kerana mengalami masalah kesihatan dan sudah pulang ke negara asalnya Cuba, Jumaat lalu.
Dia mengalami masalah kekurangan sel haemoglobin dalam darah dan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan selama seminggu pada penghujung Mac lalu sebelum Kedutaan Cuba menasihatkannya pulang berikutan keadaan yang semakin teruk.
“Perkembangan terbaru ini memberi kesan terhadap perancangan kami untuk atlit lompat tinggi. Antonio sebelum ini meminta cuti untuk kembali ke Cuba selama sebulan selepas menamatkan tempoh setahun di sini.
“Tapi malangnya, dia jatuh sakit dan terpaksa dirujuk ke hospital dengan segera,” kata Koordinator Olahraga Majlis Sukan Negara, M Magendran.
Antonio dibawa ke sini menerusi program pertukaran antara kerajaan pada awal tahun lalu yang ditugaskan melatih atlit lompat tinggi elit negara termasuk, Hup Wei yang mengalami prestasi merudum selepas Sukan Sea Manila 2005.
Sejak kehadiran Antonio, 53, pada April tahun lalu dan membimbing Hup Wei, dia berjaya meningkatkan persembahan anak didiknya itu ke tahap terbaik dengan kilauan emas di Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF), Olahraga Terbuka Bangkok, Kejohanan All Comers serta Sukan Sea, tahun lalu.
Dan impian terakhir peminat olahraga negara tahun ini ialah melihat Hup Wei melepasi syarat kelayakan 2.27 meter untuk ke Sukan Olimpik sebelum berakhir Julai ini.
Bagaimanapun impian melihat Hup Wei kembali berlatih bersama Antonio yang sudah meninggalkan negara ini dilihat sukar berikutan faktor umur dan kesihatannya.
Selain Hup Wei, atlit lain yang pernah mendapat bimbingan Antonio ialah Ngew Sin Mei, Norliyana Kamaruddin dan Poh Yu Shen.
BH
No comments:
Post a Comment