Tuesday, April 8, 2008

IOC kecam China lambat bertindak

BH

BEIJING: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge menggesa China supaya menyelesaikan kekacauan di Tibet secara aman sementara mengecam bahawa kegiatan berunsur keganasan tidak sesuai dengan semangat Olimpik.

“Kami mula bimbang dan menggesa agar diwujudkan penyelesaian secara aman di Tibet,” Rogge berkata dalam ucapannya pada permulaan mesyuarat tiga hari ketua Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan, di sini,” katanya.

Rogge, yang akan berada di Beijing untuk mesyuarat lembaga IOC selama tiga hari mulai esok sekali lagi mengetepikan cakap-cakap mengenai pemboikotan Kejohanan Beijing itu atas sebab Tibet dan isu lain, termasuk hak asasi kemanusiaan.


Dia mengakui bahawa larian obor itu adalah fokus utama pembantah tapi tidak menyebut secara khusus larian yang berlangsung di London kelmarin yang dibantah oleh sekumpulan pembantah.

Kumpulan Tibet dalam buangan mendakwa kira-kira 135 hingga 140 orang mati dalam tindakan China itu berikutan kekacauan sejak bulan lalu dan perkara ini adalah cabaran terbesar China dalam pemerintahannya di Tibet sejak berdekad-dekad lamanya.

China menegaskan bahawa ia sudah mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi penunjuk perasaan itu dan tiada sesiapa pun mati akibat tindakan berkenaan, sebaliknya perusuh Tibet telah mengakibatkan 20 orang terbunuh.

“Sesetengah ahli politik cuba bermain dengan idea boikot. Pada ketika ini tidak ada tanda-tanda pemboikotan umum,” katanya.

“Kita bernasib baik kerana orang awam menyedari bahawa tindakan memboikot tidak membantu dan hanya menghukum atlit,” kata jurucakap IOC, Giselle Davies.

“Kami memerhati apa yang berlaku di London dan akan terus memerhati perlumbaan yang akan berlangsung di Paris dan apa pula yang akan terjadi di San Francisco sebelum membuat andaian,” katanya. - AFP

No comments: