
POLIS memberi jaminan perlindungan keselamatan kepada peserta larian obor sempena Sukan Olimpik Beijing, China yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada pada 21 April ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) serta Polis Kuala Lumpur sudah membuat perancangan aspek keselamatan untuk menjayakan larian berkenaan.
“Saya berharap di sini tidak berlaku perkara seperti yang berlaku di luar negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bukit Aman, semalam.
Larian obor menjadi simbol perpaduan di negara China menjelang Sukan Olimpik yang akan berlangsung pada 8 Ogos ini. Ia membabitkan acara larian selama 130 hari dan merentasi 137,000 kilometer laluan merentas beberapa buah negara.
Ketika ini larian obor di negara Eropah diganggu penunjuk perasaan yang membantah kekerasan pihak berkuasa China ke atas aktivis prokemerdekaan Tibet selepas mengorbankan ratusan rakyat terbabit dalam insiden itu.
Musa berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara itu ketika kunjungannya ke China sebelum ini dan tidak lama lagi pula sekumpulan pegawai dari republik itu akan datang menemuinya untuk berbincang lanjut mengenainya.
Sementara itu, Pengarah KDN/KA , Datuk Hussin Ismail yang ditemui di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras berkata, polis akan ditugaskan untuk bersiap sedia bagi berhadapan sebarang kemungkinan ketika berlangsungnya larian itu.
No comments:
Post a Comment