
BAGI merealisasikan impian keemasan Olimpik Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas Sukan Olimpik Beijing untuk memperkemaskan serta menilai persediaan menghadapi temasya itu, Ogos ini.
Jawatankuasa lapan anggota itu yang akan dipengerusikan Azalina, dijadualkan mengadakan pertemuan pertamanya minggu depan bertanggungjawab untuk memantau semua perkara berkaitan dengan Olimpik 2008, terutama persediaan dan keperluan atlit yang akan beraksi di temasya itu.
“Pembentukan jawatankuasa ini adalah untuk menilai persediaan kita dan apa-apa isu yang perlu dibawa ketengah oleh atlit kita yang akan bersaing di sana terutama sekali sukan yang akan dipertandingkan,” kata Azalina pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, semalam.
“Saya akan memanggil mesyuarat pertama minggu depan dan jawatankuasa ini akan melihat kepada semua perkara bukan hanya kepada persediaan atlit tetapi juga kepada kejurulatihan, kebajikan atlit, pengangkutan serta merangka strategi-strategi yang diperlukan.
“Kita perlu mempunyai strategi terutama sekali apabila berdepan dengan sukan subjektif dengan merangka pelan tindakan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil apabila berdepan situasi ini,” kata Azalina.
Selain Azlina, jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah MSN, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), seorang wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM), chef-de-mission Beijing 2008 Datuk Ho Koh Chye dan tiga ahli lembaga pengarah MSN, yang akan ditentukan kemudian.
Selepas gagal memenangi pingat pada temasya 2000 di Sydney dan 2004 Athens, Malaysia kini berharap dapat menamatkan kemarau itu di Beijing dengan tumpuan utama kepada badminton, yang sekali lagi menjadi sandaran utama untuk pingat termasuk emas.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat di Olimpik ialah di Atlanta pada 1996 melalui gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock yang menyumbangkan perak serta Rashid Sidek (gangsa).
Ditanya apakah jawatankuasa itu dibentuk dengan matlamat utama bagi memastikan Malaysia kali ini akan pulang dengan pingat emas pertama Sukan Olimpik, Azalina berkata penilaian perlu dilakukan terlebih dahulu mengenai persediaan Malaysia.
“Apa yang saya perlukan daripada jawatankuasa ini adalah ketelusan daripada mereka yang dilantik,” kata Azalina.
“Mengenai bajet sama ada diperlukan peruntukan khas untuk persediaan menghadapi Sukan Olimpik, ia akan ditentukan jawatankuasa ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment